TENTERA Israel dilaporkan telah membunuh lebih 240 rakyat Palestin, kebanyakan daripada mereka kanak-kanak, dalam siri serangan di seluruh Semenanjung Gaza sejak gencatan senjata berkuat kuasa, sekali gus berulang kali melanggar perjanjian gencatan tersebut.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza dan Kementerian Kesihatan Palestin pada Sabtu, sebanyak 241 rakyat Palestin terbunuh, termasuk lebih 100 kanak-kanak, manakala 614 lagi cedera sejak 10 Oktober akibat serangan berterusan tentera Israel.
Sehingga 28 Oktober, tentera Israel telah melancarkan 52 tembakan dan 55 serangan peluru berpandu di seluruh Gaza, menurut laporan pejabat berkenaan.
Tempoh 28 Oktober hingga pagi 29 Oktober merupakan antara yang paling berdarah sejak gencatan senjata diumumkan, dengan lebih 109 orang terbunuh dalam tempoh hanya 12 jam. Antara mangsa ialah 52 kanak-kanak, 23 wanita, empat warga emas dan tujuh individu kurang upaya, menurut pejabat tersebut.
Kementerian Kesihatan turut mengesahkan bahawa sejak genosid di Gaza bermula pada 7 Oktober 2023, jumlah korban telah mencecah 69,169 orang terbunuh dan 170,685 lagi cedera.
Pegawai kesihatan dan Pejabat Media Gaza menjelaskan bahawa tentera Israel telah menembak mati puluhan orang awam Palestin dengan alasan mereka menghampiri apa yang disebut sebagai “garis kuning”, iaitu garisan tanpa sempadan fizikal yang memisahkan kawasan kawalan tentera Israel daripada bahagian tertentu di Gaza. Tentera Israel mengekalkan kawalan ke atas kira-kira 50 peratus wilayah Gaza.
Tentera Israel dilaporkan melepaskan tembakan secara langsung terhadap mana-mana rakyat Palestin yang melintasi atau menghampiri garisan itu tanpa sebarang amaran awal. Beberapa penduduk Palestin yang cuba kembali ke rumah mereka yang musnah ketika tempoh gencatan turut diserang berhampiran kawasan berkenaan.
Pada 17 Oktober, salah satu pelanggaran gencatan paling tragik berlaku apabila kereta kebal Israel menembak sebuah kenderaan awam yang membawa keluarga Abu Shaaban di kawasan Zeitoun, Bandar Gaza.
Menurut Pasukan Pertahanan Awam Gaza, tujuh kanak-kanak dan tiga wanita terbunuh dalam kejadian itu ketika keluarga tersebut cuba pulang untuk memeriksa keadaan rumah mereka tanpa menyedari bahawa mereka telah melintasi “garis kuning”.
“Apa yang berlaku membuktikan bahawa pendudukan Israel masih hauskan darah dan berterusan melakukan jenayah terhadap orang awam yang tidak bersalah,” kata jurucakap pertahanan awam, Mahmoud Basal, dalam satu kenyataan.
Sementara itu, seorang jururawat di Hospital Al-Aqsa, Nouran Mohamed, memberitahu Quds News Network (QNN) bahawa hampir setiap hari hospital tersebut menerima mangsa serangan baharu daripada tentera Israel.
“Ini hanya gencatan senjata pada nama sahaja,” katanya.



