Greta Thunberg dakwa dilayan kasar, sel dipenuhi pijat, tidak diberi air mencukupi

Greta Thunberg telah memaklumkan kepada pegawai Sweden bahawa beliau sedang mengalami layanan yang kasar ketika berada dalam tahanan pihak berkuasa Israel selepas ditahan di atas kapal flotilla bantuan ke Gaza.

Dalam surat-menyurat yang dilihat oleh akhbar British, The Guardian itu dan diterbitkan pada hari Sabtu, aktivis iklim Sweden tersebut menyatakan bahawa beliau ditahan dalam sel yang “dipenuhi pepijat” dan hanya diberikan makanan serta air dalam jumlah yang tidak mencukupi.

Satu e-mel daripada Kementerian Luar Sweden memaklumkan bahawa pegawai kedutaan telah menghubungi Greta.

“Beliau menerima jumlah makanan dan air yang tidak mencukupi. Beliau juga menyatakan bahawa dia mengalami ruam, yang disyaki berpunca daripada pepijat. Beliau bercakap tentang layanan kasar dan memberitahu bahawa dia telah duduk dalam tempoh yang lama di atas permukaan keras,’’ kata Kementerian itu.

E-mel yang dihantar oleh kementerian itu kepada individu terdekat dengan Thunberg turut menyebut:

“Seorang tahanan lain dilaporkan memberitahu satu lagi kedutaan bahawa mereka telah melihat beliau (Thunberg) dipaksa memegang bendera semasa gambar diambil. Greta tertanya-tanya sama ada gambar-gambar itu telah diedarkan.”

Laporan itu juga menyatakan bahawa pihak berkuasa Israel meminta Thunberg menandatangani satu dokumen, namun:

“Beliau menyatakan kekeliruan tentang maksud dokumen tersebut dan enggan menandatangani apa-apa yang tidak difahaminya,” kata e-mel tersebut, sambil menambah bahawa beliau telah diberikan akses kepada khidmat guaman dan kini masih dalam tahanan.

Thunberg adalah salah seorang daripada 437 orang yang ditahan sebagai sebahagian daripada Global Sumud Flotilla, iaitu satu gabungan lebih daripada 40 buah kapal yang berusaha untuk menembusi sekatan maritim Israel ke atas Gaza.

Tentera Israel telah memintas kapal-kapal tersebut dan menahan para kru pada malam Khamis hingga pagi Jumaat. Kebanyakan mereka kini dilaporkan ditahan di Penjara Ketziot, sebuah penjara keselamatan tinggi di padang pasir Negev yang biasanya digunakan untuk tahanan Palestin.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img