Hamzah Zainudin sudah ‘boleh kemas barang’

FOKUS SABTU

DATUK Seri Hamzah Zainudin pasti tersingkir daripada Bersatu walaupun kepimpinan Bersatu menyatakan Lembaga Disiplin akan menguruskan perkara soal perlanggaran disiplin yang kononnya dilakukan oleh Ahli Parlimen Larut itu. Bak kata orang, Hamzah sudah boleh ‘mengemaskan barang’ .

Kalau itu berlaku maknanya Hamzah akan menjadi Ahli Parlimen  ketiga dalam Bersatu akan  dipecat daripada parti selepas Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Indera Mahkota  Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Dipecat lebih baik daripada digantung sepertimana nasib Ahli Parlimen Machang  Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal. Bersatu tidak memecat beliau kerana  bagi menghormati Pas sebab itu kerusi Parlimen Pas yang diberi atas ehsan kepada Bersatu. Kalau Bersatu yang bertanding di situ dah pasti ‘ke laut’.

 Jika Hamzah dipecat maka sempurnalah segala perancangan yang dilakukan sekian lama untuk menyingkirkan beliau. Apa salah Hamzah sehingga beliau wajib disingkirkan dari Bersatu…buang masa saja tanya…itu semua tidak akan mengubah.

Adakah Hamzah benar-benar bersalah? Ya Hamzah bersalah sebab terlalu baik untuk tidak menjawab segala tohmahan! Ya Hamzah bersalah apabila terlalu mahu menjaga hubungan dalam parti sedangkan gerakan untuk ‘mengkafankan’ beliau sudah lama  dilakukan’. Entah berapa kali penulis dengar cakap-cakap Hamzah akan bertindak balas ….namun semuanya sekadar ‘cakap-cakap’.

Agak melucukan apabila ada individu yang mahukan Hamzah meletakkan jawatan sedangkan selama ini individu itu mungkin tidak pernah menyumbangkan sesenpun kepada parti khususnya dalam pilihan raya. Ini berbeza dengan Hamzah yang entah berapa banyak sudah dihabiskan untuk membantu Bersatu di Sabah dan beberapa pilihan raya.

Apapun semua itu bakal dan akan menjadi sejarah. Bersatu akan terus bergolak selagi Hamzah tidak disingkirkan. Walaupun majoriti  ketua bahagian Bersatu serta Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bersama Ahli Parlimen Larut tersebut… semua itu ‘tak laku’! Beberapa ‘kerat umat’ dalam Bersatu ‘lebih power’ daripada mereka.

Hamzah tidak boleh dibiarkan berada dalam Bersatu kerana ini akan menggagalkan usaha menguasai Bersatu oleh puak-puak tertentu. Hamzah tidak boleh ada dalam Bersatu kerana beliau akan menjadi penghalang untuk Bersatu mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri walaupun pencalonan itu mesti mendapat sokongan Pas.

Hamzah tidak boleh berada dalam Bersatu kerana mempunyai hubungan rapat dengan Pas sehingga Pas memilih beliau sebagai Ketua Pembangkang. Oleh itu jika Hamzah tidak ada lagi, bolehlah ada orang bermimpi untuk menggantikan beliau dan seterusnya terus mengigau untuk menjadi calon Perdana Menteri.

Tetapi apakah dengan pemecatan Hamzah, Bersatu akan aman dan akan menang besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) seterusnya menjadi parti dominan dalam PN? Memasang impian tidaksalah, bermimpi itu percuma.  Kenapa? Sebab tidak mustahil bagaimana Hamzah, begitulah juga ia akan berulang, seterusnya akan menggugat peluang Bersatu dalam pilihan raya tersebut…siapa pula jadi sasaran dan individu mana?…’’usahlah kau bertanya..tidak percaya tunggu saja’’.

Apapun kesimpulannya Hamzah sudah tidak selamat lagi. Agenda ‘’untuk membunuh karier politik beliau secara slowly’ kini hampir ke kemuncaknya…kalau itu berlaku terbuktilah tindakan beliau berdiam diri selama ini akhirnya menyebabkan  ‘Larut dihanyutkan’ gerakan politik dalaman.’

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img