SELEPAS mendirikan rumah tangga selama 18 tahun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan bercerai dengan suaminya, Ramachandran Muniandy.
Menurut laman sesawang rasmi Hannah, beliau berkahwin dengan Ramachandran pada 2008, tidak lama sebelum menceburi bidang politik dan pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Shay dan Kayleigh.

Perkara itu disahkan Setiausaha Akhbar kepada Hannah, Ahmad Fazli Mohd Yadi menerusi kenyataan ringkas.
“Untuk makluman, iya sah cerai seperti dalam laporan,” katanya hari ini.
Ahmad Fazli bagaimanapun meminta ruang diberikan kepada Hannah susulan perkembangan berkenaan dan menegaskan tiada penjelasan lanjut akan diberikan buat masa ini.
Menurut laman sesawang berkenaan, anak Hannah dan Ramachandran masing-masing dilahirkan pada 2011 dan 2013, manakala pasangan itu bercerai pada 2026 selepas 18 tahun berkahwin.
Hannah merupakan Ahli Parlimen Segambut, kerusi yang pertama kali dimenanginya pada Pilihan Raya Umum 2018.
Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya selama dua penggal dari 2008 hingga 2018, sebelum menjadi wanita pertama dipilih sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 2013.
Beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2018 dan berkhidmat sehingga 2020, sebelum dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan dari 2022 hingga 2025.
Hannah kemudian dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) pada Disember 2025.
Dalam DAP, beliau kini berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Agung, Naib Pengerusi DAP dan anggota jawatankuasa DAP Wanita.





