Hapus kuasa veto: Tok Mat Hasan ulangi sejarah Dr.Mahathir…ketegasan Malaysia tak pernah berubah

ANALISIS

PADA 27 September 2019, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu menjadi Perdana Menteri kali kedua menegaskan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah tiba masanya untuk kuasa veto diubah suai jika pun ia tidak dapat dimansuhkan sepenuhnya serta menggesa PBB kembali kepada tujuan asal penubuhannya.

Beliau mencadangkan supaya penggunaan kuasa veto hanya sah jika dua negara yang mempunyai kuasa veto bersama tiga anggota yang tidak memiliki kuasa veto bersetuju untuk menggunakannya demi memastikan kekerapan salah guna kuasa veto berkurangan.

“Negara yang memiliki kuasa veto tidak sepatutnya menganggap diri mereka sentiasa tidak terkecuali daripada undang-undang dan norma antarabangsa,” kata Dr Mahathir ketika menyampaikan kenyataannya pada Perbahasan Umum Sesi ke-74 Perhimpunan Agung PBB.

 Dan semalam enam tahun kemudian, kebetulan pada tarikh 27 September juga, ketegasan Malaysia berhubung kuasa veto itu bergema lagi. Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyampaikan kenyataan negara pada Perbahasan Umum Sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB di New York turut membangkitkan perkara yang sama.

 Seperti juga Dr.Mahathir,  dengan suara penuh ketenangan tetapi isinya penuh ketegasan Tok Mat Hasan membawa suara lantang Malaysia dengan mengulangi  gesaan supaya PBB segera melaksanakan reformasi, dengan menekankan bahawa badan dunia itu mesti kekal relevan dalam menangani cabaran global, khususnya isu Palestin yang sudah lama berlarutan.

‘’Malaysia percaya terdapat tiga pembaharuan mendesak yang penting bagi kelangsungan PBB termasuk keperluan mengehadkan, jika tidak menghapuskan kuasa veto.

“Kita mesti mencabar setiap kali kuasa itu digunakan, khususnya dalam kes jenayah terhadap kemanusiaan. Kuasa mesti dikembalikan kepada Perhimpunan Agung. Sebagai badan paling inklusif, ia seharusnya dibenarkan berperanan sebagai hati nurani dan suara dunia tanpa sekatan,’’katanya.

Mohamad turut menggesa PBB supaya terus menuntut kebertanggungjawaban daripada Anggota Tetap Majlis Keselamatan PBB melalui Resolusi 76/272: Inisiatif Veto, sambil menegaskan bahawa kegagalan berulang kali Majlis Keselamatan memenuhi kehendak Perhimpunan Agung mesti ditentang dengan tegas.

“Kita mesti mencari hasil melalui Resolusi 377A: Bersatu Demi Keamanan. Tidak lagi kita harus berdiam diri menerima penolakan terhadap suara kolektif kita.  Kita mesti mempersoal dan mencabar kuasa veto. Kita mesti membebaskan Majlis Keselamatan daripada keadaan lumpuh yang memalukan ini,” katanya.

Beliau juga berkata, PBB mesti kekal sebagai sebuah pertubuhan antarabangsa yang relevan, berkesan serta menjadi penjaga keamanan global.

Kalau dikaji ucapan Dr.Mahathir enam tahun lalu dengan ucapan Tok Mat Hasan semalam, ternyata ketegasan Malaysia dalam soal kuasa veto yang dimiliki oleh lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB-China, Perancis, Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat bukanlah perkara baru.

Paling memalukan apabila kuasa veto  itu sentiasa digunakan oleh Amerika Syarikat untuk mempertahankan sekutunya, Israel yang kini menjajah Palestin, membunuh rakyat negara itu dan menghancurkan Gaza.

Sejak tercetus konflik di Palestin, sudah enam kali Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto itu,  terbaru pada 19 September lalu apabila, menolak resolusi yang menuntut gencatan senjata serta-merta dan pembebasan semua tebusan di Gaza.

Resolusi itu disokong oleh 14 daripada 15 anggota majlis dan ditaja oleh 10 negara anggota tidak tetap. Teks tersebut turut menuntut Israel membuka sekatan bantuan kemanusiaan dan menghentikan serangan ketenteraan di Gaza City.

Disebabkan sikap Amerika Syarikat itulah, amat tepat sekali apabila Tok Mat Hasan menggunakan ayat, ‘’ ‘’Kita mesti membebaskan Majlis Keselamatan daripada keadaan lumpuh yang memalukan ini’’.

Sememangnya begitulah keadaan Majlis Keselamatan, biarpun sebuah badan dunia tetapi ia bagaikan tidak ada apa-apa kuasa. Segala-galanya ditentukan oleh kuasa besar khususnya Amerika Syarikat. Negara-negara lain tidak berdaya kerana kuasa veto yang masih wujud.

Soalnya adakah apa yang diucapkan oleh Tok Mat Hasan akan mengubah PBB dalam perkara berkaitan kuasa veto ini? Memang kita tidak mengharapkan apa-apa. Tetapi ketegasan yang disampaikan oleh Tok Mat Hasan telah membolehkan sekali lagi Malaysia akan dihormati. Tambahan pula beliau bercakap mengenai kuasa veto berkenaan dalam konteks perkembangan terkini di Palestin.

Apapun pujian harus diberikan oleh Tok Mat Hasan apabila melalui kefasihan dalam berbahasa Inggeris dengan nada suara penuh ketenangan, beliau berjaya melaksanakan misi menyampaikan pendirian Malaysia dengan tegas dan jelas di badan dunia itu.Tahniah Tok Mat!

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img