Hubungan Bersatu-Pas semakin sukar diselamatkan….

FOKUS SABTU

FAKTANYA, dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) Pas menang 43 kerusi manakala Bersatu menang 31 kerusi.

Pas memilih Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin daripada Bersatu sebagai Ketua Pembangkang manakala Pengerusi Perikatan Nasional (PN) juga diserahkan kepada Bersatu, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin menduduki jawatan tersebut.

Ketika Bersatu tinggal 25 kerusi sebab 6 Ahli Parlimennya berpaling tadah dengan menyokong Kerajaan Perpaduan dan selepas itu tinggal 23 kerusi apabila Bersatu memecat dua Ahli Parlimennya,  Pas tetap tidak meminta kedua-dua jawatan itu diberikan kepada parti itu.

Apabila ada pemimpin utama Bersatu dihadap ke mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, pendirian serta kesetiaan Pas tidak berubah. Sekali lagi tidak ada bunyi-bunyi bahawa Pas mahu menjadi Ketua Pembangkang atau Pengerusi PN.

Sebaliknya Pas bersedia menerima segala tohmahan dan serangan kerana dianggap bersekongkol dengan parti yang pemimpin-pemimpinnya ada masalah integriti.

Tetapi apabila tercetus isu siapa bakal menggantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN terus Pas dituduh tamak kuasa,Pas dituduh rasa kuat sebab parti besar, banyak duit, ada jentera dan boleh bertanding atas logo sendiri.

Kerusi Pengerusi PN kosong bukan disebabkan Pas memaksa Muhyiddin meletakkan jAwatan, Pas bersetuju untuk mengambil alih teraju PN bukan kerana Pas tamak kuasa sebaliknya apa yang berlaku Muhyiddin sukarela berundur.

Sebab itulah lucu sangat apabila ada ‘sumber’ membuat kenyataan kepada akhbar Berita Harian iaitu jika segelintir pemimpin Pas masih terus bermain sentimen sebagal ‘mangsa’, kepimpinan Bersatu sudah bersedia untuk memutuskan hubungan.

Katanya, tindakan Pas yang didakwa didalangi oleh pemimpin kumpulan teknokrat itu ternyata menyebabkan kepimpinan Bersatu, khususnya Muhyiddin terluka.

“la bermula dengan tindakan Pas ingin mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) tanpa menjemput Tan Sri Muhyiddin dan pertukaran kenyataan apa-bila parti itu tidak bersetuju dengan cadangan pembentukan Majlis Presiden PN dan pemansuhan jawatan Pengerusi PN.

“Perbincangan untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN memang ada dibincangkan sebelum ini  bagi menumpukan kepada Majlis Presiden PN. Mengapa perlu ada lebih dari satu platform jawatan tertinggi dalam PN?

“Apa dilakukan Pas kini jelas menampakkan ketamakan parti itu dalam mengejar jawatan dan berasakan mereka kuat. Ketamakan ini akan memakan diri Pas sendiri sebab ada pemimpinnya gila hendak merebut jawatan,”

Selain kelmarin Timbalan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan sudah menjelaskan dengan terperinci dari segi Perlembagaan PN kenapa Muhyiddin tidak dijemput, semalam Ahli Parlimen Pasir Mas yang Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menjawab tuduhan ‘sumber’ tersebut dengan menegaskan,;

‘Anda dan beberapa kerat pemimpin anda yang tamak. Masuk Bersatu pada tahun 2023 selepas PRU, dan pandai-pandai label Pas sebagai tamak dan pemimpinnya gila jawatan.

 ‘’Jika Pas tamak, Pas tidak serahkan jawatan ketua pembangkang kepada parti lain walhal Pas mempunyai kerusi paling banyak. Jika Pas tamak, sejurus selepas PRU, Pas akan terus menuntut jawatan Pengerusi PN kerana jumlah kerusi Pas lebih banyak.

‘’Tetapi Pas hanya bangkitkan soal Pengerusi PN hanya selepas melihat arah tuju Bersatu yang semakin membimbangkan dan memberi kesan kepada PN.’’

Ahmad Fadhli seterusnya berkata, Pas hanya mahu selamatkan situasi, bergerak dengan gerak kerja sepatutnya menjelang PRU16.

‘’ Anda dan beberapa kerat pemimpin anda nampaknya tidak berminat ke arah itu,’’ katanya.

Penulis bukanlah mahu menyebelahi mana-mana pihak sebaliknya hanya membentangkan fakta kerana tidak mahu melalui kenyataan-kenyataan dibuat oleh pemimpin Bersatu, ‘kambing pun boleh tersenyum’.

Rakyat khusus orang Melayu tahu walaupun berlaku krisis di Perlis tetapi Pas tidak mintapun Muhyiddin meletakkan jawatan, Ahli Parlimen Pagoh itu melakukan dengan rela hati dan tiba-tiba selepas percutian panjang di London, melalui tindak tanduknya beliau seolah-olah tetap mahu mengetuai PN. Soalnya kenapa tidak minta jasa baik Pas untuk beliau menarik balik surat peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN. Kenapa memilih jalan sukar?

Polemik yang tercetus itu semakin memanaskan lagi hubungan Bersatu dan Pas dan ia ibarat ‘telur retak yang putih telur mula mengalir’. Ketika pemimpin Bersatu berkata, parti sudah bersedia untuk memutuskan hubungan, semalam juga Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin berkata,:‘’Kalau gagal ‘jalan damai’ lebih baik Pas tanding solo.’’

Mungkin itu pilihan terbaik. Sama ada siapa sebenarnya tamak? Siapa yang ingin terus menjadi ketua walaupun dalaman sendiri berantakan, siapa yang sejak dulu di mana sahaja dia berada pasti konflik tercetus… biarlah rakyat menilai?

Tetapi bagi penulis ‘jalan damai’ itu sudah tertutup, kalaupun mahu bersama…tiada faedahnya…selagi ada ‘batu api’…siapa? Biarlah masa mendedahkannya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img