BEBERAPA kawasan di sekitar Shah Alam dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan sejak petang tadi.
Antara kawasan terjejas adalah Seksyen 7, Kampung Melayu Subang dan Seksyen 26.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menggerakan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong bersama sebuah jentera bagi memantau kawasan terjejas itu.
Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir kilat di Kampung Melayu Subang pada jam 8.30 malam.
Susulan itu, kata beliau, sepasukan lima anggota dari BBP Bukit Jelutong diketuai Komander Operasi Marzu Abdullah digerakkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera.
“Sebaik tiba di lokasi pada jam 8.47 malam, pemantauan mendapati kawasan terjejas dinaiki air dengan anggaran ketinggian 0.5 meter atau paras lutut. Bagaimanapun keadaan semasa didapati terkawal dan trend air menunjukkan penurunan memandangkan hujan semakin reda.
“Setakat ini, tiada pemindahan mangsa dilakukan dan tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka,” katanya, lapor BH.
Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan berkala di lokasi bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar kekal tenang dan berwaspada sekiranya hujan kembali lebat.


