Indonesia beri lampu hijau Malaysia hantar bantuan padam kebakaran hutan

MALAYSIA mendapat lampu hijau dari Indonesia untuk menghantar bantuan bagi membantu memadamkan kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan jerebu rentas sempadan seterusnya menjejaskan ruang udara negara jiran termasuk Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata persetujuan itu diberikan ketika pertemuannya dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Istana Hambalang sempena dengan lawatan kerja ke Jakarta.

“Presiden Prabowo telah menyambut dengan baik, ertinya memberikan keizinan terhadap tawaran Malaysia untuk sama-sama menangani permasalahan jerebu dan kebakaran di Kalimantan,” katanya pada  sidang media di Jakarta hari ini,lapor Bernama.

Bantuan yang ditawarkan Malaysia merangkumi sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter serta 52 pegawai dan anggota daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, berkata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan telah diminta menyelaraskan bantuan itu dengan NADMA, APMM, Jabatan Meteorologi Malaysia, TUDM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkaitan.

“Oleh kerana keizinan telah diperoleh daripada Presiden Prabowo, tentu koordinasi pada peringkat kementerian, jabatan dan agensi harus dilakukan. Saya mengharapkan agar Kementerian Luar, dalam melakukan koordinasi ini, dapat memastikan semua pihak yang akan terlibat dalam operasi ini melakukan usaha yang terselaras,” katanya.

Beliau berkata bantuan itu bukan hanya untuk jangka pendek bagi memadamkan kebakaran, sebaliknya kedua-dua negara turut berbincang dan mencapai persetujuan untuk merancang langkah jangka panjang bagi memastikan masalah jerebu akibat kebakaran tidak berulang.

Ahmad Zahid berkata dalam pertemuan itu, Prabowo turut memaklumkan sehingga kini masih terdapat 1,426 titik panas di Kalimantan, manakala tindakan perundangan telah diambil pemerintah Indonesia terhadap 95 syarikat yang terlibat dalam kebakaran secara terbuka di kawasan di kepulauan Borneo itu.

Ditanya sama ada terdapat syarikat Malaysia dalam kalangan 95 syarikat berkenaan, Ahmad Zahid berkata tiada maklumat mengenainya diberikan setakat ini, dan pihak Indonesia sedang meneliti jika terdapat penglibatan dari Malaysia.

“Syarikat-syarikat itu didaftarkan atas nama syarikat di Indonesia. Mungkin dari segi pemegang saham, terdapat beberapa jumlah kecil syarikat-syarikat berkenaan dimiliki oleh pemegang saham dari Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Malaysia menyambut baik langkah yang telah diambil Indonesia dan sebagai negara jiran terdekat akan terus memberikan kerjasama dalam usaha menangani isu kebakaran serta jerebu rentas sempadan, khususnya kesannya terhadap Sarawak.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here