Indonesia isytihar bekas Presiden Suharto sebagai ‘Pahlawan Nasional’

BEKAS Presiden Indonesia, Suharto, secara rasmi dianugerahkan gelaran Pahlawan Nasional oleh Presiden Prabowo Subianto sempena sambutan Hari Pahlawan di Istana Negara, Jakarta hari ini.

Penganugerahan itu dibuat menerusi Keputusan Presiden No. 116/TK/Tahun 2025 sebagai penghargaan atas jasa luar biasa Suharto dalam perjuangan bersenjata dan politik, termasuk peranannya dalam Serangan Umum 1 Mac 1949 dan pelucutan senjata tentera Jepun di Yogyakarta pada 1945.

Suharto, yang memimpin Indonesia selama 32 tahun dari 1967 hingga 1998, dikenang kerana menstabilkan ekonomi dan memperkukuh ketenteraman politik pasca era Sukarno.

Namun, legasinya turut dibayangi dakwaan pelanggaran hak asasi manusia, rasuah dan penindasan terhadap pembangkang semasa era Orde Baru.

Langkah kerajaan Prabowo itu mencetuskan bantahan daripada kumpulan masyarakat sivil dan aktivis hak asasi, termasuk Komisi untuk Orang Hilang dan Korban Tindak Kekerasan (KontraS) serta Amnesty International Indonesia, yang menyifatkan rekod Suharto sebagai tidak selari dengan nilai kepahlawanan.

Presiden Prabowo, yang pernah menjadi menantu kepada Suharto, menyatakan bahawa pengiktirafan tersebut adalah tanda penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam membentuk Indonesia moden.

Majlis penganugerahan turut menampilkan potret Suharto dan Presiden pertama Indonesia, Sukarno, sebagai simbol kesinambungan sejarah kepimpinan negara.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img