POLIS Antarabangsa (Interpol) telah mengeluarkan Notis Merah terhadap pengasas Serba Dinamik Holdings Bhd, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah bagi membantu pihak berkuasa mengesan dan menangkapnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu susulan tindakan penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang turut memperoleh waran tangkap terhadap Abdul Karim.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini, sambil menjelaskan, pihak berkuasa masih meneruskan siasatan terhadap urus niaga lain yang membabitkan Abdul Karim.
Anwar turut mempersoalkan mengapa tiada pendakwaan dilakukan dalam beberapa kes korporat besar sebelum pentadbirannya mengambil alih kerajaan.
“Kes itu ditutup dan semua orang berdiam diri,” katanya, lapor BH.
Abdul Karim kini dikehendaki pihak berkuasa berhubung kesalahan di bawah Seksyen 369(b)(B) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
Beliau sebelum ini didakwa pada 2021 berhubung dakwaan mengemukakan kenyataan palsu berkaitan maklumat kewangan Serba Dinamik.
Syarikat perkhidmatan minyak dan gas yang berpangkalan di Sarawak itu bersama tiga lagi eksekutifnya turut didakwa pada Disember 2021.
Bagaimanapun, pertuduhan berkenaan ditarik balik pada Mei 2022 selepas syarikat itu dan eksekutif terbabit bersetuju membayar kompaun bagi menyelesaikan kes berkenaan.
Anwar berkata, siasatan SC di bawah pentadbiran semasa turut membawa kepada pertuduhan terhadap Abdul Karim dan seorang lagi individu pada awal 2026, berkaitan urus niaga serta dakwaan kenyataan palsu membabitkan Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB).
Beliau menegaskan, kedudukan, kekayaan atau pengaruh seseorang tidak seharusnya mengecualikan individu berkenaan daripada tindakan undang-undang.
“Pendekatan kami tegas tiada kompromi terhadap jenayah korporat. Pasaran modal mesti beroperasi secara teratur dan pelabur mesti dilindungi,” katanya.





