KERAJAAN Persekutuan akan berbincang dengan kerajaan negeri Sarawak berhubung langkah keselamatan susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) dilaporkan melebihi paras 500 di negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara perkara yang bakal dibincangkan ialah penutupan beberapa institusi, termasuk sekolah.
Beliau berkata, beberapa wakil turut akan dihantar bagi membincangkan keperluan pengisytiharan darurat di kawasan yang terjejas teruk.
Tambahnya, beberapa langkah bagi mengurangkan jerebu sudah diambil ketika ini, termasuk pembenihan awan.
“Semua yang patut kita lakukan, kita lakukan. Walaupun ini kesan daripada perkembangan di tempat lain, kita perlu tanggung dan bersabar, ” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah di Ampang hari ini, lapor Buletin TV3.
Perdana Menteri sebelum itu sempat menikmati makan tengah hari sambil menyantuni orang awam di Medan Selera Bukit Indah, Ampang.
Menerusi semakan di portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU di Serian dan Kuching ketika ini masing-masing dicatatkan pada tahap berbahaya, iaitu 521 dan 311.





