
SETIAP hari ini Donald Trump berbohong mengenai rundingan dengan Iran. Setiap hari ada sahaja cerita yang beliau untuk menunjukkan kononnya AS dan Iran sedang berunding.
Pelbagai jalan cerita diwujudkan oleh Presiden AS yang merupakan sahabat baik pengganas antarabangsa Benjamin Netanyahu.
Hari ini terbukti ‘penyakit berbohong’ Trump ‘makin kronik’ atau mungkin sudah tidak ada ubatnya lagi, apabila negara republik Islam itu menafikan membuat apa-apa perbincangan dengan Amerika Syarikat) yang kini dilihat menjadi ‘pak turut’ kepada rejim Zionis Israel itu.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, menegaskan Iran tidak pernah mengadakan rundingan secara langsung dengan Amerika Syarikat, sambil menolak dakwaan bahawa Republik Islam itu telah menerima cadangan Washington sebagai tidak berasas.
Pada sidang media mingguannya hari ini, Baqaei mengulas kenyataan Trump, yang mendakwa Iran telah bersetuju dengan cadangan Amerika.
Beliau menegaskan bahawa pendirian Iran kekal konsisten sejak awal, iaitu menolak tuntutan yang dianggap berlebihan dan tidak munasabah yang disampaikan melalui pihak perantara.
Menurut Baqaei, tiada rundingan langsung pernah berlaku antara Iran dan Amerika Syarikat setakat ini. Sebaliknya, hanya mesej yang disampaikan melalui negara ketiga kepada Iran yang menunjukkan keinginan Washington untuk mengadakan rundingan.
Beliau turut memberi amaran bahawa setiap kali Amerika bercakap mengenai diplomasi, ia wajar menimbulkan keraguan.
Katanya, tidak jelas sejauh mana pihak di AS sendiri benar-benar serius dengan dakwaan diplomasi tersebut, memandangkan pendirian Washington sering berubah-ubah, berbeza dengan Iran yang kekal teguh.
Baqaei menjelaskan bahawa Iran mempunyai kerangka jelas dalam pendekatannya, dan cadangan yang diterima melalui perantara dianggap melampau serta tidak realistik. Mengenai pertemuan yang melibatkan Pakistan, beliau berkata ia berlangsung dalam kerangka yang ditetapkan oleh Pakistan sendiri dan Iran bukan sebahagian daripadanya.
Walaupun mengalu-alukan keprihatinan negara-negara serantau untuk menamatkan konflik, Baqaei menegaskan bahawa pihak yang memulakan pencerobohan mesti dikenal pasti, dan Iran tidak seharusnya diminta menahan diri secara sepihak. Beliau menegaskan bahawa Iran adalah pihak yang diserang, bukan pencetus konflik.
Mengulas lanjut dakwaan Trump bahawa Iran telah menerima cadangan AS, Baqaei menegaskan bahawa pegawai Amerika bebas membuat sebarang kenyataan, namun hakikatnya tiada rundingan berlaku. Satu-satunya komunikasi hanyalah permintaan AS untuk mengadakan rundingan yang disampaikan melalui pihak ketiga.
Beliau menutup kenyataan dengan menegaskan bahawa selagi pencerobohan berterusan, fokus Iran adalah mempertahankan diri, sambil menyifatkan dakwaan AS sebagai tidak boleh dipercayai berdasarkan pengalaman lampau Iran yang pernah berdepan pengkhianatan dalam rundingan.
Kenyataan Iran membuktikan negara republik Islam itu tidaklah sebodoh sesetengah negara Asia Barat yang terlalu percaya apa juga janji dan kata-kata ‘Trump’ yang boleh dianggap ‘badut’ dalam konflik di Asia Barat itu.
Demi maruahnya Iran tidak akan tunduk kepada Amerika Syarikat apatah lagi mengikut telunjuk Trump. Mungkin dengan negara-negara Arab lain, Trump boleh memperdayakan mereka tetapi tidak dengan Iran, sebab itulah Iran tidak rela seincipun buminya dipijak oleh AS, apatah lagi dijadikan pangkalan tentera AS menyerang negara Islam lain.


