
TINDAKAN Amerika Syarikat (AS) menceroboh negara berdaulat Venezuela dan kemudiannya menculik dan mendakwa Presiden negara itu, Nicolas Maduro di New York.
Walaupun apa yang dilakukan dianggap perbuatan biadab dan terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa namun Presiden AS, Donald Trump begitu bangga apabila melalui media sosial memaparkan gambar Maduro ketika ditangkap.
Malah Rumah Putih atau White House yang kononnya selama ini dianggap tempat merancang keamanan dunia dan memperjuangkan demokrasi memaparkan di platform X yang menunjukkan Maduro, bergari dan memakai selipar, diiringi oleh ejen persekutuan melalui sebuah fasiliti Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat di New York.
“Selamat malam, selamat tahun baharu,” kedengaran pemimpin berhaluan kiri berusia 63 tahun itu berkata dalam bahasa Inggeris.
Sebuah pesawat kerajaan AS yang membawa Maduro mendarat di sebuah pangkalan tentera sejurus selepas malam menjelang, sebelum beliau dibawa dengan helikopter ke Bandar Raya New York, di mana pasangan itu dijadualkan untuk dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan pengedaran dadah dan senjata.
Perbuatan AS terang-terang pencabulan ke atas sebuah negara berdaulat yang sepatutnya boleh dikenakan tindakan dari segi undang-undang antarabangsa tetapi negara dunia hanya mampu dan mengecam – sama seperti mana mereka menyaksikan AS menjadi sekutu paling rapat Israel menjajah bumi Palestin dan membunuh lebih 70,000 rakyat negara itu.

Paling buruk, ketika Venezuela masih lagi mempunyai kerajaan yang sah dan sebuah negara yang masih mempunyai undang-undang dan Perlembagaan, Trump sekali lagi dengan angkuh menyatakan sedang “melantik individu” daripada Kabinetnya untuk mentadbir Venezuela, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Dalam satu kenyataan mengejutkan lain, Trump memberi bayangan bahawa tentera AS mungkin dikerahkan, dengan menyatakan Washington “tidak takut menghantar tentera darat.”
Namun begitu, beliau dilihat menolak kemungkinan pihak pembangkang mengambil alih kuasa, dan sebaliknya menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Naib Presiden Venezuela, Delcy Rodríguez.
Satu aspek yang menjadi lebih jelas ialah minat Trump terhadap rizab minyak Venezuela yang sangat besar.
“Kami akan membawa masuk syarikat minyak besar Amerika Syarikat… melabur berbilion dolar, membaiki infrastruktur yang rosak teruk. Kami akan menjual minyak dalam jumlah yang besar,’’ kata Trump.
Pemimpin pembangkang yang disokong AS, Maria Corina Machado, yang memenangi Hadiah Nobel Keamanan tahun lalu, menulis di media sosial bahawa “saat kebebasan telah tiba.”
Beliau menyeru calon pilihan raya 2024 pihak pembangkang, Edmundo Gonzalez Urrutia, supaya “segera” mengambil alih jawatan presiden.
Namun Trump secara mengejutkan bersikap dingin terhadap jangkaan Machado untuk menjadi pemimpin baharu Venezuela, dengan mengatakan beliau tidak mempunyai “sokongan atau penghormatan” di negara itu.
Sebaliknya, Trump memuji Rodríguez dengan berkata, “dia pada asasnya sanggup melakukan apa yang kami fikir perlu untuk menjadikan Venezuela hebat semula.”
Rodríguez menolak kenyataan itu, menuntut pembebasan Maduro dan berikrar untuk “mempertahankan” negara tersebut.
Lewat malam Sabtu, Mahkamah Agung Venezuela mengarahkan Rodríguez mengambil alih kuasa presiden “dalam kapasiti pemangku.”
Walaupun Mahkamah Agung Venezuela sudah membuat arahan sedemikian namun Trump tidak peduli semua itu sebaliknya menegaskan. “Kami akan kekal sehingga peralihan yang sewajarnya dapat dilaksanakan.’’
Maknanya AS mahu menjajah Venezuela dan mengaut kekayaan minyak yang dimiliki oleh negara itu.
Kalaulah di Venezuela, AS boleh menceroboh masuk dengan melibatkan 150 pesawat hasil perisikan berbulan-bulan termasuk rutin harian Maduro— termasuk “apa yang dimakannya” dan haiwan peliharaan yang dipelihara, apakah AS juga sedang dan akan melakukan tindakan yang sama di Iran?
Apakah sekarang ini sudah ada perisikan AS yang ‘berkampung’ dengan negara Republik Islam itu bagi menangkap Presiden Iran pula? Jangan lupa Iran sebelum ini telah menangkap beberapa ejen Israel di Iran. Tidak mustahil AS akan menceroboh, menculik dan menjajah Iran pula selepas Venezuela.
Perbuatan yang melanggar undang-undang antarabangsa itu akan berlaku kerana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hanya sekadar dewan mesyuarat manakala negara-negara lain sekadar mengecam.
Serangan dan penjajahan ke atas Venezuela itu juga akan menyebabkan dunia tidak lagi menumpukan perhatian kepada penjajahan dan pembunuhan yang sedang dilakukan oleh Israel ke atas Palestin.
Begitulah jahatnya perancangan Trump, beliau sokong srael menjajah Palestin manakala AS sendiri menjajah negara berdaulat lain. Malangnya dunia hanya memerhati, kecaman sekadar retorik.


