DATUK Ismail Lasim sudah mengemukakan surat peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan hari ini kepada Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zambry Abd Kadir, berkata gabungan itu menghormati keputusan tersebut selepas menerima salinan surat peletakan jawatan berkenaan.
“Pengerusi BN akan mengemukakan cadangan calon menteri Besar yang baharu untuk dipersembahkan ke hadapan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, selaras dengan peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan.
Pengunduran Ismail dilihat pendekatan terbaik dalam usaha menamatkan konflik melibatkan pentadbiran Kerajaan Negeri dengan Tuanku Muhriz. Tindakan itu dilakukan 48 jam selepas beliau mengesahkan mengesahkan sudah menarik balik surat dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, sekali gus menyatakan sokongan kepada Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Langkah menarik balik surat berkenaan pada 10 November, bersama 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), dilihat sebagai usaha mengembalikan penyelesaian kepada landasan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta menghormati kedudukan institusi diraja.
Kenyataan Zambry Abd Kadir, bahawa Pengerusi BN akan mengemukakan calon Menteri Besar baharu membawa isyarat bahawa parti itu mahu memainkan peranan utama dalam menentukan hala tuju kepemimpinan Negeri Sembilan selepas ini.
Bagaimanapun, persoalan lebih besar ialah siapakah calon yang bakal dikemukakan dan sejauh mana calon berkenaan mampu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta perkenan Yang Dipertuan Besar.
Dalam keadaan politik negeri yang masih belum benar-benar stabil, BN perlu memastikan calon baharu bukan sekadar memenuhi kepentingan parti, sebaliknya mampu membina semula hubungan antara kerajaan negeri dengan institusi diraja.





