Israel terus mengganas di Gaza, mudahnya negara Islam diperdaya Trump ‘sang pendamai’?

ANALISIS

NEGARA-negara Islam khususnya Asia Barat begitu memuji Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump apabila mengemukakan pelan damai bagi menghentikan perang di Gaza – sebenarnya bukan perang tetapi pencerobohan Israel ke atas bumi Palestin.

Pelan damai yang mengandungi 20 perkara itu ternyata berat sebelah apabila Israel ditempatkan di garisan kuning – yang membolehkan mereka menguasai 58 peratus daripada bumi Gaza.

Hari ini garisan kuning menjadi ‘lesen’ kepada tentera Zionis untuk meneruskan genosid ke atas rakyat Palestin, malah mereka juga menyerang rumah-rumah di Gaza atas alasan mahu menghentikan ancaman.

Walaupun tentera Israel terus mengganas namun Trump yang ‘dinobatkan’ sang pendamai oleh negara-negara Islam hanya mendiamkan diri. Malah pernah berkata, Israel berhak mempertahankan diri apabila tentera Zionis tersebut melanggar gencatan senjata.

Trump tahu dengan sokongan negara-negara Islam menerima pelan damai itu, AS boleh ‘memberi lesen’ kepada Israel untuk terus menjajah Palestin.

Kelmarin Pejabat Media Kerajaan Gaza menyatakan, ketika gencatan senjata di Gaza memasuki bulan kedua, Israel dilaporkan telah melanggar perjanjian tersebut sekurang-kurangnya 282 kali antara 10 Oktober hingga 10 November.

Pelanggaran itu termasuk serangan udara, tembakan artileri, tembakan terus ke arah orang awam, serta sekatan terhadap bantuan kemanusiaan dan kemusnahan rumah serta infrastruktur di seluruh wilayah Gaza.

Menurut pejabat tersebut, pasukan Israel menembak orang awam sebanyak 88 kali, menyerbu kawasan perumahan di luar “garisan kuning” sebanyak 12 kali, mengebom Gaza 124 kali, dan memusnahkan harta penduduk dalam 52 insiden. Dalam tempoh yang sama, tentera Israel turut menculik 23 penduduk Palestin dari pelbagai kawasan di Gaza.

Memetik laporan Al Jazeera, Israel telah melancarkan serangan ke atas Gaza dalam 25 daripada 31 hari sejak gencatan senjata bermula — bermakna hanya enam hari tanpa keganasan.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sejak gencatan senjata berkuat kuasa, sekurang-kurangnya 242 penduduk Palestin terbunuh dan 622 lagi cedera akibat serangan Israel.

Dalam masa yang sama, Israel terus menghalang bantuan kemanusiaan penting daripada sampai kepada penduduk. Dari 10 Oktober hingga 9 November, Papan Pemantauan dan Penjejakan UN2720 melaporkan hanya 3,451 lori bantuan berjaya tiba di destinasi mereka di dalam Gaza.

Sehingga 6 November, hanya 4,453 lori telah dibenarkan masuk daripada 15,600 yang dijadualkan, dengan purata 171 lori sehari — jauh lebih rendah daripada 600 lori sehari yang dipersetujui dalam perjanjian gencatan senjata.

Pihak berkuasa Gaza turut menyatakan bahawa Israel menyekat lebih 350 jenis makanan asas dan berkhasiat, termasuk daging, produk tenusu, dan sayur-sayuran segar, sebaliknya hanya membenarkan kemasukan makanan tidak berkhasiat seperti snek, coklat, kerepek, dan minuman ringan.

Semua catatan ini membuktikan bagaimana begitu mudahnya negara-negara Islam diperdayakan oleh Trump dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu. Sejak awal lagi pelan damai itu dilihat penuh kepincangan.

Ia diketengahkan oleh Trump selepas berbincang dengan Benjamin Netanyahu di Rumah Putih (White House) dan perkara ini diakui oleh Perdana Menteri Israel tersebut. Oleh itu bagaimanakah pemimpin negara Islam boleh menerima pelan damai itu sewenang-wenangnya.

Ada pemimpin dunia berhujah yang penting, pelan damai itu hentikan peperangan? Yang betul perang berhenti sebagai Hamas tidak dibenarkan bertindak balas malah mereka dipaksa menyerahkan semua senjata yang dimiliki.

Pakar Sejarah Timur Tengah , Jeremy Salt dalam artikelnya baru-baru ini sudah menyatakan, dalam konteks sejarah, Zionis tidak pernah berjuang bersendirian. Mereka dilindungi oleh kuasa penjajah British semasa tempoh Mandat British (1917–1948). Ketika Zionis dibenarkan menubuhkan pasukan bersenjata untuk melindungi penempatan mereka, rakyat Palestin pula dilarang memiliki senjata

Kini sejarah itu berulang, cuma kali ini Israel terus bermaharajela dengan dilindungi oleh Trump dan ‘lesen’ yang ‘diberi cop mohor’ oleh pemimpin Islam  atas nama ‘pelan damai’ ..’tahniahlah’!

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img