Isteri ketiga bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.
Tertuduh Salwani Anuar @ Kamarudin, 27, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Azhar Otman.
Terdahulu dia tiba di mahkamah jam 8.25 pagi tadi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM5,000 yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Islamic Bank Berhad miliknya, lapor BuletinTV3.
Kesalahan itu dilakukan pada 16 Januari 2025, di CIMB Cawangan Jerteh, Besut.
Tertuduh didakwa telah melakukan suatu kesalahan di bawah Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) Akta yang sama.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit, yang mana lebih.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jaminan RM30,000 dengan menggunapakai wang jaminan dan syarat seperti yang diputuskan oelh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Kes disebut semula pada 30 Mac 2026 dan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Maziah Mohaide dan Rabiatul Adawiyah Mohd Noorlee. Tertuduh diwakili peguam Fahmi Abd Moin.
Khamis lalu di Mahkamah Seysen Kuala Lumpur, dia didakwa atas empat pertuduhan rasuah berjumlah RM77,000. Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menerima wang hasil aktiviti haram iaitu RM50,000; RM7,000 dan masing-masing RM10,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik syarikat itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Damansara Heights di sini, antara 24 November 2024 hingga 25 November 2025.
Bagi keempat-empat kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1)(a) akta sama yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) akta sama.
Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram itu atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.


