Isu kuil dan ternak babi: Anwar dah beri peringatan….tak faham lagi atau buat-buat tak faham..tak tahulah

SEMEMANGNYA isu pembinaan kuil di atas tanah bukan hak milik kuil bukan isu baru, begitu juga dengan isu kandang ternak babi. Kedua-dua isu ini pernah mencetuskan suasana tidak harmoni antara kaum di negara ini.

Oleh itu ketegasan Perdana Menteri  Datuk Seri Anwar Ibrahimdalam kedua-dua isu ini amat diperlukan bagi membuktikan bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur dalam soal yang boleh mencetuskan polemik antara  kaum dan mengugat kesejahteraan hidup rakyat.

Hari ini Perdana Menteri dalam nada tegas dan jelas menyentuh isu ini ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) yang sekaligus menunjukkan kerajaan sedar kedua-dua isu tersebut sering ‘menghantui’ hubungan kaum di negara ini dan mencetuskan suasana tidak harmoni dalam masyarakat.

Isu kuil contohnya,  sama ada ia akan  membangkitkan sentimen perkauman atau sengaja dijadikan alat untuk meniup sentimen tersebut.

Sudah banyak kali kuil dibina di tanah bukan milik mereka, apabila tindakan mahu diambil mulalah  hujah-hujah perkauman dibangkitkan. Keadaan menjadi ‘bertambah panas’ apabila ada pihak cuba mengambil kesempatan menjadi hero tidak kiralah daripada kaum mana sekalipun.

Kadangkala orang ramai hairan kenapa kerajaan membiarkan kuil-kuil seumpama itu dibina dan mereka juga tertanya-tanya kenapa pampasan harus dibayar oleh pemilik tanah kepada pihak kuil yang membina kuil atas tanah bukan milik mereka?

Sebenarnya  ramai sudah bosan dengan isu ini. Sehinggakan apabila ada saja kuil yang dibina atas tanah bukan milik mereka, maka pengurusan kuil menentang seolah-olah itu tanah mereka. Lebih merimaskan lagi apabila pemilik tanah terpaksa pula membayar ‘pampasan’ kepada kuil terlibat sedangkan sejak awal lagi pengurusan kuil yang salah kerana membina atas tanah orang.

Oleh itu apabila Anwar menyatakan bahawa ‘’ “Saya dengan ini mahu mengumumkan ketetapan kita tidak lagi mengizinkan dan majlis perbandaran (PBT) diberi keizinan untuk ‘membersihkan’ kuil bukan hak’’ – ia boleh dianggap satu kelegaan.

Selama ini apabila PBT mahu bertindak mereka terpaksa menempuh pelbagai halangan termasuklah ada pihak muncul mempertahankan kuil dan minta kerajaan campurtangan, sedangkan sejak awal lagi kuil itu dibina di atas tanah bukan milik mereka.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan sudah pasti akan memberi pemahaman bukan sahaja kepada pengurusan kuil tetapi juga semua pihak bahawa apabila sesuatu kes mahu dirobohkan, janganlah bersikap jahil mahu melihat ia dari sudut perkauman.

Justeru apabila kerajaan sudah membuat keputusan memberi kuasa kepada PBT ini akan mampu mengelakkan seperti mana kata Perdana Menteri, ‘’…isu sensitif dipolemikkan sehingga mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.’’

“Jangan kita bergaduh soal istilah (kuil haram). Yang penting, ikut peraturan. Masjid yang dibangunkan ikut peraturan, gereja dibangunkan ikut peraturan, begitu juga semua yang lain. Jadi harus dicari jalan penyelesaian, bukan pergaduhan.’’ Kata Anwar.

Begitu juga soal ternakan babi, kenapakah beria-ia sangat mahu membina atau memindahkan ternakan haiwan itu ke kawasan kediaman penduduk sehingga ia akhirnya mencetuskan kontroversi. Kalau ada orang Melayu protes dituduh mereka perkauman.

Anwar berkata, bantahan penduduk terhadap ternakan babi di kawasan kediaman bukan kerana sikap anti-kaum atau kepercayaan, sebaliknya kerana isu persekitaran yang menimbulkan kegelisahan masyarakat setempat.

“Ini bukan soal Cina atau Melayu. Kalau ada ternakan babi di sekeliling rumah, orang tak mahu kerana masalah persekitaran, kebersihan dan bau. Saya sendiri, kalau di sekitar rumah saya ada ternakan babi, bukan sebab saya anti orang Cina makan babi, tetapi sebab saya tak tahan baunya,” tegas Perdana Menteri.

Itulah faktanya tetapi ada pihak yang selewengkan fakta seolah-olah jika ada penduduk yang menentang tambahan pula kalau majoritinya Melayu maka mereka dianggap rasis..paling malang dalam sesetengah kes ada ahli politik cuba mahu menjadi wira tak bertempat.

Sepertimana kata Anwar, kerajaan tidak menentang ternakan babi secara dasar dan tidak melarang penganut agama lain daripada makan babi, penulis percaya orang ramai khususnya orang Melayu begitu juga, tetapi yang mereka bantah ialah janganlah kawasan ternakan itu berdekatan kawasan kediaman.

Contohnya dalam kes Bukit Pagar, tak kan sebesar-besar negeri Selangor tidak ada kawasan lain yang lebih sesuai. Apa salahnya kalau kandang ternak babi dibina jauh daripada kawasan penduduk?

Ketegasan Anwar yang mahu sebarang cadangan lokasi baharu perlu dibincangkan secara menyeluruh dan berlandaskan konsensus adalah betul.

“Kalau di Kuala Lumpur tak ada tempat yang sesuai, maka tak ada. Kalau di Selangor sukar, jangan dipaksa. Kita dengar cadangan, bincang dulu dari segi kesihatan, alam sekitar dan bau,” katanya.

Semoga pihak-pihak yang terlibat memahami dengan ketegasan Perdana Menteri demi memastikan pembinaan kuil tanpa izin di tanah orang tidak mengugat perpaduan rakyat dan perternakan babi tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk. Kalau tak faham lagi..tak tahulah..



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img