JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) menahan seorang lelaki yang dipercayai mengaku sebagai Rasul di sebuah premis di Rawang, kira-kira jam 11.15 malam tadi.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, turut ditahan di premis yang sama ialah tiga individu lain terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, lelaki berusia 65 tahun itu mendakwa kepada pengikutnya bahawa dia sudah bertemu dengan Nabi Adam AS secara nyata pada waktu siang.
“Dia juga mendakwa bertemu dengan Nabi Muhammad SAW dalam bentuk cahaya pada waktu malam, selain bertemu dengan Rasul sebanyak dua hingga tiga kali dalam tempoh seminggu.
“Kejadian itu berlaku antara dua hingga tiga tahun lalu di sebuah taman negara di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shahzihan berkata, pengikut lelaki berkenaan mendakwa bahawa individu itu adalah utusan Allah SWT dan segala perlakuannya dianggap oleh mereka sebagai suruhan Allah seperti tidak perlu solat atau berpuasa jika berasa letih dan uzur.
“Susulan itu, JAIS melakukan siasatan dan penahanan mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki melakukan suatu upacara atau perbuatan berhubung dengan agama Islam yang bertentangan dengan hukum syarak.
“Siasatan juga mengikut Seksyen 8 Enakmen sama kerana disyaki mengisytiharkan dirinya sebagai Rasul serta mendakwa dirinya mengetahui suatu perkara yang di luar pemahaman dan pengetahuan manusia,” katanya.
Katanya, penahanan itu sekali gus menyelesaikan satu aduan yang mendakwa ada seorang individu mengaku dirinya sebagai Rasul dan mempengaruhi keluarganya yang tular pada 9 Februari lalu.
“Satu pasukan khas daripada ibu pejabat JAIS diarah serta-merta menyiasat terperinci mengenai perkara berkenaan yang berjaya membawa kepada tangkapan empat individu disyaki itu,” katanya.


