PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun bendera adalah lambang kedaulatan negara dan wajib dihormati, ia tidak wajar dijadikan alasan untuk mencetuskan ketegangan kaum.
Katanya, isu bendera tidak harus dijadikan bahan perbalahan sehingga menghangatkan suhu perpecahan antara kaum di negara ini.
“Jadi kadang-kadang bila kita aman, kita buat andaian sahaja. Ajak orang bergaduh, mahu bergaduh soal bendera, semua mahu gaduh dan ada yang menghangatkan suhu perpecahan antara kaum,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Kilang Pembuatan Kenderaan Perisai Mildef International Technologies Sdn Bhd, di sini, pada Sabtu.
Perdana Menteri menegaskan, Jalur Gemilang tetap penting sebagai lambang kebanggan negara tetapi tindakan perlu diambl secara wajar jika terdapat salah laku.
“Jangan salah faham, saya tidak kata bendera itu tidak penting, bendera itu tanda lambang kebanggaan negara jadi kena jaga.
‘’Kalau dulu silap-silap boleh kita maafkan tapi sekarang kalau ada lagi yang nampak lihat begitu, sama ada di jabatan kerajaan atau swasta, harus ada tindakan tetapi saya mahu sebutkan, jangan buat andaian semua ini baik, tidak betul,” katanya.
SEMENTARA itu ketika berucap merasmikan Program MADANI Rakyat di Dataran Nilai, Anwar berkata, komitmen Kerajaan MADANI terhadap prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dibuktikan menerusi penyerahan kuasa yang lebih banyak kepada Parlimen.
Beliau berkata, langkah itu termasuk pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang memerlukan Menteri Kewangan mengemukakan unjuran pertumbuhan serta pelan menurunkan kadar hutang negara untuk kelulusan Parlimen.
“Kerajaan mana yang sanggup menyerahkan kuasanya kepada Parlimen? (Usaha itu dapat dilihat) antaranya (melalui) Akta Tanggungjawab Fiskal.
“Maknanya kalau Menteri Kewangan umum dasar unjuran keperluan, turunkan kadar hutang dan Parlimen luluskan, kemudian tak dapat dilaksanakan, Menteri Kewangan kena bentang semula kepada Parlimen.
“Ini nak jadikan supaya dasar kerajaan itu penuh bertanggungjawab,” katanya.


