KETUA Polis Kelantan memberi amaran keras kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri itu supaya tidak bersekongkol atau menjadi tali barut sindiket penyeludupan yang semakin aktif di kawasan sempadan.
Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, amanah dan integriti pasukan mesti dipertahankan.
“Jangan sampai ada dalam kalangan kita yang kelihatan setia di hadapan, namun akhirnya mengkhianati amanah serta mencemarkan maruah pasukan dari dalam.
“Saya tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana warga PDRM Kelantan yang didapati terbabit dalam rasuah, pembocoran maklumat atau salah laku,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.
Beliau berkata, isu penyeludupan dan jenayah rentas sempadan terus menjadi cabaran utama yang diberi perhatian serius pihak polis.
Menurutnya, polis Kelantan bersama agensi penguat kuasa lain sentiasa mempergiat operasi dan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang kegiatan penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan.
“Bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, sebanyak 375 kes membabitkan barangan kontraban direkodkan dengan nilai rampasan melebihi RM10 juta serta 212 tangkapan.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 135 kes membabitkan barangan subsidi turut direkodkan dengan nilai rampasan lebih RM200,000 serta 70 tangkapan,” katanya.
Mohd Yusoff berkata, pihaknya turut merekodkan penahanan 102 PATI pelbagai negara selain 47 transporter yang dipercayai terbabit dalam kegiatan rentas sempadan secara haram.
Katanya, hasil risikan mendapati sindiket penyeludupan kini mula menggunakan laluan persisir pantai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Menurutnya, ancaman itu bukan sahaja tertumpu di daerah sempadan seperti Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah dan Jeli, malah kawasan lain juga dipercayai dijadikan laluan transit sindiket.
“Justeru, saya menyeru seluruh warga polis Kelantan agar terus mempertingkatkan kesiapsiagaan, memperkukuh elemen risikan serta mempererat kerjasama strategik bersama agensi penguat kuasa lain demi memastikan ancaman jenayah rentas sempadan dapat dibendung secara lebih berkesan, menyeluruh dan tuntas,” ujarnya.


