Pas menolak sekeras-kerasnya cubaan mana-mana pihak untuk menjadikan parti itu sebagai kambing hitam bagi mengukuhkan agenda politik dalaman di Singapura.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu tidak akan membiarkan naratif palsu dibina dengan menjadikan ulasan rentas sempadan yang biasa sebagai ancaman keselamatan demi kepentingan politik jangka pendek.
“Singapura meletakkan dirinya sebagai hab global yang sangat terhubung, di mana idea dan pandangan sememangnya menyeberangi sempadan.
“Menyifatkan kenyataan dalam talian yang tidak disertai dengan pembiayaan, tindakan, penyelarasan atau arahan sebagai satu ‘campur tangan’ adalah keterlaluan, menjejaskan makna sebenar istilah itu.
“Dan (ia) membuka ruang kepada penapisan terhadap wacana awam yang sah,” Katanya yang juga Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, jika keterhubungan digital dilihat sebagai saluran campur tangan, maka tindak balas paling logik ialah memutuskan hubungan dengan dunia luar, satu pendirian tidak lestari bagi sebuah ekonomi terbuka yang bergantung kepada aliran modal, bakat dan maklumat.
Tegasny yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, tanda sebuah negara yang matang ialah keupayaannya untuk berdialog dengan yakin dan jelas, bukannya menuduh pihak luar sebagai penyebab ketidakstabilan dalaman.
“Adalah tidak wajar untuk mendakwa bahawa pengundi Singapura begitu mudah dipengaruhi oleh pandangan luar sehingga kehendak pilihan raya mereka perlu ‘dilindungi’ daripada pendapat yang mereka sendiri mampu menilai secara kritikal,” tegas beliau.
Beliau menegaskan, menyalahkan pihak luar atas perdebatan dalaman adalah taktik pengalihan politik klasik yang digunakan untuk mengalihkan tumpuan daripada isu sebenar dalam negara.
“Pendekatan sedemikian membolehkan pemimpin menggerakkan rakyat menentang ancaman rekaan, suatu usaha yang jauh lebih mudah daripada kerja keras merangka dasar, membina persefahaman dan menangani kebimbangan sebenar rakyat.
“Ia merupakan jalan pintas politik yang menukar penyelesaian jangka panjang dengan kesatuan jangka pendek terhadap kambing hitam,” tegasnya.
Beliau berkata, komitmen Pas terhadap penghormatan kepada kedaulatan negara menjadi panduan kepada semua bentuk penglibatan yang dijalankan melalui saluran rasmi dan sewajarnya
“Prinsip ini membolehkan kami bersuara dalam hal berkaitan agama, keadilan dan kesejahteraan sosial, sambil memastikan kami tidak mencampuri proses pilihan raya atau kedaulatan mana-mana negara.
“Sebagai balasan, kami menjangkakan sikap berhemah yang sama; maka janganlah mencipta musuh yang tidak wujud atau mempergunakan alat peraturan untuk menakut-nakutkan ucapan yang sah,” katanya.
Terdahulu media antarabangsa melaporkan Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam, menegur tindakan ahli politik Pas yang didakwa cuba mempengaruhi pilihan raya Singapura dengan menyokong calon pembangkang Melayu atas dasar agama.
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4496″]


