Kabinet akan membincangkan langkah tegas bagi menangani isu disiplin dan keselamatan di sekolah termasuk pengaruh media sosial dalam pelajar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa insiden yang berlaku di institusi pendidikan kebelakangan ini memerlukan intervensi segera.
“Kita akan adakan perjumpaan mengenai isu ini… apabila kita lihat secara menyeluruh, hampir kesemuanya berbalik kepada telefon pintar, media sosial dan aplikasi.
“Jadi, mungkin hari ini atau esok saya akan mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri (bagi membincangkan isu ini)… harus ambil tindakan tegas… tentunya ada pelbagai reaksi (daripada orang ramai) tetapi harus ada tindakan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Perdana Menteri mengulas mengenai insiden tragis yang menyaksikan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut ditikam oleh seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Selangor semalam.
Dalam kejadian pada kira-kira 9.30 pagi itu, mangsa ditemukan dengan beberapa kesan tikaman di badan di luar bilik darjah.
Sementara itu Anwar mempertahankan pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) sebanyak RM600 juta bagi pemuliharaan bangunan warisan di Kuala Lumpur termasuk Carcosa Seri Negara yang disifatkan mempamerkan kepentingan sejarah dan identiti nasional.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bangunan bersejarah itu bukan sekadar peninggalan era silam, sebaliknya simbol warisan Raja-Raja Melayu serta perjalanan negara menuju kemerdekaan.
“Isu Carcosa ini dibangkitkan…masalahnya, kadang-kadang pembangkang tidak membaca. Ini (Carcosa) ialah warisan. Saya bangga dengan sejarah saya, saya bangga dengan bangunan Carcosa sebagai warisan Raja-Raja Melayu yang mempunyai peranan tersendiri.
“Kuala Lumpur perlu dikenali sebagai sebuah kota moden dari segi teknologi dan segar budayanya. Apabila kita mula melabur di situ, ia akan menarik pelaburan lain untuk berkembang di sekitarnya,” katanya .
UNDILAH |
[forminator_poll id=”4496″]



