Jangan panik dengar bunyi letupan meriam di Putrajaya – Polis

POLIS menasihatkan penduduk di sekitar Putrajaya agar tidak panik sekiranya terdengar bunyi letupan meriam kerana ia adalah sebahagian daripada sesi raptai penuh dan acara Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan tembakan meriam ketika raptai penuh dan hari acara yang berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Presint 1.

“Raptai penuh akan diadakan pada Rabu ini bermula jam 8.30 pagi dengan melibatkan dua das tembakan meriam.

“Pada hari acara iaitu pada Jumaat, tembakan sebanyak 21 das akan dilepaskan pada jam 8.30 pagi di lokasi sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aidi Sham, beberapa laluan utama di sekitar Putrajaya akan ditutup sementara dan dilencongkan berikutan pelaksanaan istiadat berkenaan.

“Penutupan sementara dan lencongan jalan akan dilaksanakan bermula jam 7 pagi membabitkan Jalan Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Jalan Lebuh Perdana Timur serta laluan sekitar Kompleks E,” katanya.

Menurutnya, kesesakan lalu lintas dijangka berlaku antara jam 7 pagi hingga 10 pagi.

“Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan mematuhi arahan serta isyarat yang diberikan oleh pihak polis bagi memastikan kelancaran perjalanan istiadat,” katanya.

Aidi Sham turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

“Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Hotline Polis Putrajaya di talian 03-8886 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img