FOKUS SABTU
DUA pemimpin Pas semalam membuat hantaran menyindir kemelut dalam Bersatu. Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ‘’sukar untuk hidup bersama jiran yang bising’’ manakala Bendahari Pas Datuk Iskandar Abdul Samad pula berkata: “Sebuah kapal yang sedang bergelut tidak mampu memimpin armada, terutamanya apabila ia sedang karam.”
Kedua-dua pemimpin itu berhak membuat sindiran tersebut. Kemelut dalam Bersatu bukan sahaja akan mengkaramkan bahtera parti tersebut malah akan menjadi ‘batu karang’ yang boleh menghalang perjalanan Pas untuk mencapai kejayaan dalam mana-mana pilihan raya.
Justeru Pas perlu menyatakan pendirian secara terbuka dan telus kerana parti itu tidak boleh terpalit dengan kemelut Bersatu. Pas perlu buktikan mereka mampu mencari alternatif lain memandangkan Bersatupun mungkin sudah ada ‘pelan kecemasan’ atau ‘sudah menempah batu nesan’ mereka.
Apa yang berlaku dalam Bersatu biarlah mereka selesaikan sendiri, apa nak buat kalau kepimpinan parti itu terlalu teruja mahu pecat ‘orang sana, orang sini’ semata-mata mahu mengukuhkan kedudukan. Sememangnya kapal Bersatu sedang karam. Justeru Pas janganlah ‘cari penyakit’ dengan terus mahu menjadi sekutu kepada Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
Kekuatan PN bergantung kepada Pas bukan Bersatu. Tetapi bukanlah salah Pas apa nak jadi kepada PN memandangkan Bersatu sendiri tidak tahu dan tidak mahu menjaganya supaya PN tidak terjejas dengan tindak tanduk politik mereka.
Jangan lupa Pas pernah dianggap oleh pemimpin Bersatu dengan kata-kata lebih kurang ‘orang luar yang masuk ke rumah kita ajar kita susun barang’. Jangan risau Bersatu mungkin akan kuat dengan sendirinya …maklumlah ‘pembersihan melalui pemecatan secara borong’ sudah dilakukan.
Pas perlu fikir kepentingan sendiri kerana selama ini parti itu sudah banyak berkorban, bertolak-ansur dalam menjaga hubungan dengan Bersatu demi mahu mengukuhkan PN. Tetapi ternyata Bersatu tidak tahu membalas budi, lihat apa yang berlaku di Perlis? Tengoklah apa yang terjadi dalam isu jawatan Pengerusi PN?
Bayangkan Bersatu melakukan pemecatan tanpa sedikitpun mempertimbangkan pengorbanan Pas apabila memecat Ahli Parlimen Machang Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal sedangkan kerusi itu diberi laluan oleh Pas.
Begitu juga pemecatan Hamzah sedangkan kepimpinan Bersatu tahu beliau dipilih sendiri oleh Pas untuk menjadi Ketua Pembangkang. Benar, apa yang berlaku adalah masalah dalaman Bersatu tetapi sebagai rakan sekutu sepatutnya ada sedikit pertimbangan.
Oleh itu Pas tidak perlulah lagi dibiarkan diperkotak-katikkan oleh Bersatu. Tidak perlulah terperangkap dengan pandangan kononnya Pas perlukan Bersatu untuk tidak nampak ekstrem, tak payahlah risau sangat pengundi bukan Melayu tidak beri undi. Soalnya bila masa Pas ekstrem? Bila masa Pas terpaksa menagih undi bukan Melayu untuk menang pilihan raya?
Selama inipun Pas buat macam-macam untuk tarik sokongan bukan Melayu termasuk menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) untuk bukan Melayu…tak adapun bukan Melayu beri undi. Kalau Bersatu nak undi bukan Melayu biarkan sahaja, Pas tak payah fikir, lagipun Bersatu ada ramai kawan sekarang yang boleh tolong tarik undi untuk mereka termasuklah MIPP dan Gerakan.
Pas bukan parti picisan yang terpaksa berkorban, dikorban atau terkorban kerana ‘jiran yang bising’ atau ‘terseret kapal sedang karam’! Pas boleh ‘cari jiran lain’, Pas boleh pastikan kapalnya terus berlayar lancar.
Selama ini semua orang tahu Bersatu bergantung kepada Pas. Jentera dan penyokong Pas yang banyak membantu Bersatu. Tetapi Bersatu tidak hargainya. Mereka seronok sebab apapun kerenah dilakukan Pas ‘tetap’ akan bersama PN, kononnya sebab boleh imbang imej ekstrem Pas.
Kesimpulannya, kemelut dalam Bersatu boleh mendatangkan kemudaratan kepada Pas, oleh itu Pas perlu membuat pendirian tegas supaya ‘tidak perlu lagi melayan jiran yang bising’ atau tergugat pelayarannya kerana ‘serpihan kapal sedang karam’… nama sahaja ‘Bersatu’ tapi haru biru.


