JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menyita sebuah motosikal milik warga Rohingya selepas pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan serius termasuk tidak memiliki lesen memandu dan insurans dalam operasi di Jalan Sungai Buloh, semalam.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, tindakan itu diambil menerusi Op Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dijalankan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan bukan warganegara.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan, pihaknya menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang bekerja sebagai pengutip besi buruk.
“Hasil pemeriksaan mendapati individu terbabit tidak memiliki lesen memandu (CDL), selain tiada perlindungan insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) juga telah tamat tempoh.
“Turut dikesan beberapa kesalahan teknikal termasuk lampu belakang dan lampu berhenti tidak berfungsi serta nombor pendaftaran yang sukar dilihat dari belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi semua kesalahan tersebut, tindakan saman telah dikeluarkan manakala motosikal terbabit disita dan dibawa ke Stesen Penguatkuasa (SPK) Ijok untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Azrin berkata, pihaknya akan terus mempergiat pemantauan serta mengambil tindakan terhadap setiap aduan yang diterima bagi memastikan semua kenderaan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Orang awam boleh menyalurkan sebarang aduan berkaitan kesalahan lalu lintas melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan dengan menyertakan butiran lengkap,” katanya.


