SEORANG jurulatih kelab bolasepak wanita, Valencia CF, Fernando Martin, dan tiga orang anaknya disahkan maut selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di perairan Pulau Padar, Labuan Bajo, Manggarai Barat, NTT,Indonesia, kelmarin.
Hari ini, Pasukan mencari dan menyelamat (Basarnas) Indonesia menemui serpihan badan kapal pelancong KM Putri Sakinah yang tenggelam ketika membawa jurulatih tersebut bersama tiga orang anaknya.
Dalam operasi pencarian di perairan Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur (NTT), pasukan SAR menemui serpihan badan kapal kira-kira lima batu nautika dari lokasi kejadian.
“Pencarian terhadap empat mangsa yang merupakan warga negara asing (WNA) dari Sepanyol masih diteruskan,” kata Ketua Pejabat Basarnas Maumere, Fathur Rahman, lapor Antara.
Menurut beliau, setakat ini pasukan SAR gabungan telah menyelamat tujuh daripada 11 mangsa kapal pelancong tersebut.
Fathur Rahman berkata, semalam pasukan SAR turut menemui beberapa barangan milik kapal tersebut termasuk tong gas, serpihan dan serpihan badan kapal, serta bahagian kabin nakhoda.
Beliau menjelaskan bahawa operasi SAR berdepan beberapa cabaran antaranya ombak setinggi kira-kira 0.25 hingga 1.5 meter, arus laut yang kuat di sekitar perairan Pulau Padar serta hujan lebat yang mengehadkan jarak penglihatan.
“Namun keadaan ini tidak melemahkan semangat pasukan SAR dalam meneruskan usaha pencarian,” katanya.


