Juruterbang Saudia antara tiga terbunuh akibat serangan di Lapangan Terbang Riyadh

PIHAK  Berkuasa Am Penerbangan Awam Arab Saudi (GACA) mengesahkan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh menjadi sasaran dua serangan yang mengorbankan tiga individu, termasuk seorang juruterbang.

Serangan pertama menyasarkan kemudahan lapangan terbang, manakala serangan kedua menyasarkan sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Saudia.

Dalam satu kenyataan, Saudia mengesahkan juruterbangnya, Kapten Hamoud Ali AlKalthami, terbunuh dalam serangan yang berlaku pada Khamis.

Syarikat penerbangan itu turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga, saudara-mara dan rakan sekerja Allahyarham.

“Saudia mengenang jasa beliau dengan penuh penghormatan dan penghargaan, serta mengiktiraf sumbangan yang diberikan sepanjang kerjayanya bersama syarikat penerbangan kebangsaan itu dan kesan mendalam yang ditinggalkannya kepada rakan sekerja,” menurut kenyataan syarikat penerbangan berkenaan.

Saudia berkata, insiden itu turut menyebabkan kerosakan pada sebuah pesawat miliknya yang berada di darat di lapangan terbang berkenaan.

Bagaimanapun, tiada penumpang berada di dalam pesawat tersebut ketika kejadian berlaku.

Menurut GACA menerusi satu hantaran di media sosial, pasukan tindak balas kecemasan bersama pihak berkuasa berkaitan segera bertindak terhadap kedua-dua serangan sejurus insiden itu berlaku, selaras dengan prosedur dan pelan yang telah ditetapkan.

Pihak berkuasa itu turut memaklumkan bahawa serangan berkenaan menyebabkan beberapa warga tempatan dan penduduk mengalami kecederaan, daripada tahap ringan hingga parah.

Semua mangsa yang cedera segera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan perubatan yang diperlukan.

GACA menegaskan bahawa pihaknya terus bekerjasama rapat dan menyelaras tindakan dengan agensi keselamatan berkaitan bagi menilai kerosakan serta mengambil semua langkah yang diperlukan untuk menjamin keselamatan penumpang dan kakitangan.

Langkah itu juga bertujuan memastikan keselamatan dan sekuriti sistem penerbangan awam di Arab Saudi terus terpelihara.

Pihak berkuasa berkenaan turut memaklumkan bahawa operasi di lapangan terbang itu telah disambung semula dan pergerakan trafik udara kembali normal.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here