Kabinet : Pengisian atau rombakan kecil tetap penentu jangka hayat Kerajaan Madani

APABILA Pejabat Perdana Menteri menyatakan baru-baru ini bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan rombakan Kabinet dalam masa terdekat maka ramai tertanya-tanya adakah ia secara besar-besaran atau sekadar mengisi kekosongan.

Sepatutnya, rombakan hanya melibatkan pengisian jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Ekonomi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Bagaimanapun ada desakan supaya Perdana Menteri mengkaji juga kedudukan beberapa menteri yang dikatakan tidak menunjukkan prestasi yang diharapkan.

 

 Walaupun sepatutnya rombakan berkisar soal mengisi kekosongan namun tidak salah jika Perdana Menteri menggunakan kuasa mutlaknya untuk mengubah portfolio menteri-menteri sedia ada bagi memantapkan prestasi Kabinet.

Ia memandangkan, rombakan atau pengisian yang dilakukan mungkin  kali pertama dan terakhir dilakukan  kerana tempoh penggal pemerintahan Kerajaan Madani hanya tinggal setahun setengah sahaja lagi. Oleh itu Anwar perlu memastikan barisan Kabinet terus diperkasakan.

Jika apa yang perkatakan oleh ramai orang mengenai menteri tertentu tidak kompeten melaksanakan tugas dalam portfolionya sekarang maka Perdana Menteri perlu mempertimbangkan menukarkan menteri tersebut ke portfolio lebih sesuai.

Bagaimanapun hari ini Perdana Menteri mendedahkan beliau sudah mempunyai senarai calon untuk rombakan Kabinet.

Namun, ia masih dalam pertimbangan teliti dan beliau enggan terburu-buru membuat keputusan.

“Saya sedang berfikir mengenainya. Saya tidak mahu terburu-buru. Saya belum berbincang dengan semua pihak berkepentingan.  Keputusan ini adalah prerogatif saya. Saya bersyukur dan menghargai semua pandangan, tetapi akhirnya saya sendiri perlu memutuskannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan bukunya, Rethinking Ourselves, di Pavilion Bukit Jalil pada Ahad.

Menurut Anwar, beberapa pihak yang masih belum dipanggil untuk perbincangan rasmi termasuk DAP dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Apabila ditanya sama ada ini merupakan rombakan Kabinet atau sekadar pengisian jawatan, beliau menjelaskan ia lebih kepada pengisian jawatan, yang boleh menyebabkan rombakan kecil.

Perdana Menteri sudah memberi bayangan bahawa ‘’ia boleh menyebabkan rombakan kecil’’ apabila ada jawatan menteri yang perlu diisi. Sudah pastilah ramai mengharapkan Anwar akan membuat keputusan yang tepat, walaupun ia mungkin tidak memuaskan hati semua orang tetapi sekurang-kurangnya ‘memenuhi impian’ banyak pihak yang mahu melihat ada menteri digantikan.

Apapun terserah kepada kebijaksanaan Anwar membuat keputusan tetapi yang pasti apa yang Perdana Menteri putuskan, itulah yang akan dinilai oleh rakyat terhadap kemampuan setiap anggota Kabinet.

Paling penting di tangan menteri-menteri inilah bukan sahaja terletak masa depan negara tetapi juga ‘nyawa pemerintahan’ Kerajaan Madani sama ada akan disambung atau tidak selepas PRU-16.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img