Kampung Bharu Penempatan Pertanian Melayu (MAS), tidak boleh ditukar kepada bukan bukan Melayu

Pejabat Diraja Selangor berkongsi kenyataan media bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkaitan status Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur yang masih dalam pertikaian.

Ambrin, dalam kenyataan bertarikh 1 Oktober lalu, antaranya menegaskan kampung itu sebagai Penempatan Pertanian Melayu (MAS) dan tidak boleh ditukar kepada bukan Melayu.

Pejabat Diraja Selangor Sultan Selangor  berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah disembah maklum dan membaca kenyataan media Ambrin berhubung Kampung Bharu dan isu pembangunan di Kampung Sungai Baru.

Berikut kenyataan penuh beliau yang merupakan antara jati Kampung Bharu dan bekas Pengerusi  Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Ahli Dewan Diraja SelangorSaya, Tan Sri Ambrin bin Buang, adalah merupakan seorang anak jati Kampong Bharu, mantan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dan Ahli Dewan Diraja Selangor.

Saya ingin memberi pandangan mengenai Pembangunan Kampong Bharu khususnya berkaitan dengan pembangunan dan kedudukan “Kampung Sungai Baru” yang kini telah mendapat perhatian ramai pihak.

Terlebih dahulu, saya mengambil kesempatan di sini menjunjung kasih atas titah DYMM Sultan Selangor melalui kenyataan akhbar Baginda bertarikh 18 September 2025 berhubung isu pembangunan semula tanah di “Kampung Sungai Baru”, Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan akhbar DYMM Sultan Selangor tersebut, Tuanku telah mengimbas susur galur sejarah dan peristiwa penting yang berlaku di Kampong Bahru yang harus difahami oleh semua pihak dan perlu dipelihara sebaiknya.

DYMM Tuanku juga mengingatkan bahawa Kampong Bahru memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur. Oleh itu, Tuanku menegaskan segala usaha pembangunan di Kampong Bahru harus mengambil kira kepentingan orang Melayu.

Berikutan dengan kenyataan DYMM Tuanku tersebut, Baginda telah menjemput saya dan beberapa orang lama Kampong Bharu termasuk pegawai-pegawai kanan Kerajaan negeri Selangor untuk mengadakan perbincangan berkaitan isu-isu yang berhubung kait dengan Kampong Bharu dan juga isu pembangunan di “Kampung Sungai Baru”.

 Ini menggambarkan keperihatinan DYMM Tuanku berkaitan dengan isu yang membabitkan Kampong Bharu dan “Kampung Sungai Baru”.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, kerana telah menyokong penuh kenyataan DYMM Sultan Selangor serta memberikan jaminan tentang kedudukan dan kepentingan orang Melayu di Kampong Bharu akan sentiasa dijagadan dipelihara.

Izinkan saya mengupas sedikit sejarah kewujudan Kampong Bharu dari kajian saya sendiri serta maklumat yang saya perolehi memandangkan saya sendiri merupakan anak jati Kampong Bharu.

Dari segi sejarahnya dan hasil semakan saya, asal-usul tanah Kampong Bharu yang seluas lebih kurang 220 ekar telah diwartakan sebagai Malay Agricultural Settlement (selepas ini dirujuk sebagai “MAS”) pada 12 Januari 1900, bagi tujuan pertanian dan pendudukan untuk orang-orang Melayu.

Tanah ini adalah hasil kurniaan Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, Sultan Selangor ke-5. Pada tahun 1901 tanah ini telah diwartakan semula untuk tujuan penempatan orang Melayu apabila projek pertanian yakni tanaman sawah padi agak kurang berjaya.

Namun demikan, tajuk pewartaan di bawah Malay Agricultural Settlement MAS dikekalkan walaupun kegunaannya telah ditukar untuk tujuan penempatan orang Melayu (fakta berkaitan hal ini saya perolehi melalui rujukan kepada catatan sejarah yang ditulis oleh John Hand yang merupakan Setiausaha Kehormat MAS pada tahun 1933 hingga 1941).

Pewartaan sebagai tanah MAS ini terus kekal hingga ke hari ini. Seperti yang semua sedia maklum, Kampong Bharu ini kemudiannya telah diserahkan oleh kerajaan Selangor kepada kerajaan Persekutuan sebagai sebahagian dari kawasan Wilayah Persekutuan, ketika pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pada Februari 1974. 5.

 Baru-baru ini telah timbul isu tentang pembangunan “Kampung Sungai Baru” yang mana pada pemahaman dan anggapan saya tanah ini asalnya adalah sebahagian daripada tanah warta MAS berpandukan kepada pewartaan tahun 1901.

Malah jika dilihat kepada Warta bertarikh 16 Februari 1932, jelas menunjukkan bahawa kedudukan kawasan tanah di bawah warta MAS sebagai terletak pada kedudukan “the right bank of Klang River downstream”.

 Apa yang terjadi, pada tahun 1967, kerajaan negeri Selangor telah mengambil tindakan untuk meluruskan Sungai Klang yang melintasi “Kampung Sungai Baru” daripada keadaan asalnya yang berbengkang-bengkok bagi mengelak kejadian banjir di kawasan tersebut dari terus berlaku.

 Ini menyebabkan lebihan/terbitan tanah baru seluas 16.31 ekar telah terbentuk selepas projek meluruskan sungai Klang disiapkan. Di dalam masa yang sama tanah lebihan yang terbentuk itu kedudukannya terletak di sebelah tebing kanan sungai Klang dan ini sekaligus termasuk di bawah definasi pewartaan 16 Februari 1932 tanah MAS sebagai “the right bank of Klang River”.

 Oleh itu, tanah lebihan ini boleh termasuk di bawah warta MAS disebabkan oleh kedudukan tanah tersebut yang kini telah berada di sebelah kanan tebing sungai Klang. Justeru, pada pandangan saya kerajaan pada ketika itu seharusnya mewartakan tanah lebihan tersebut sebagai tanah yang termasuk di

bawah tanah warta MAS yang di kenali sebagai “Kampung Sungai Baru”. 7. Mengambil kira faktor di atas dan mengambil kira hasrat DYMM Sultan Selangor ketika itu agar orang-orang Melayu memiliki tanah dan penempatan di pusat bandar Kuala Lumpur, saya membuat kesimpulan bahawa tanah “Kampung Sungai Baru” boleh diklasifikasikan sebagai sebahagian dari tanah MAS.

 Di samping itu, fakta untuk menklasifikasikan sebagai tanah MAS untuk orang-orang Melayu ini boleh diperkuatkan dengan melihat kepada surat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan

Negeri Selangor bertarikh 5 Mei 1970 yang secara jelas menyatakan bahawa tanah “Kampung Sungai Baru” ini mempunyai syarat sekatan tanah yang menyatakan bahawa tanah yang dikeluarkan milik ini tidak boleh ditukar milik kepada orang bukan Melayu.

Cuma ianya berkemungkinan belum sempat diterjemahkan untuk menjadi sebahagian dari warta MAS.

Sehubungan itu, saya berpendapat bahawa inilah masanya kerajaan Persekutuan membetulkan semula keadaan dengan memastikan tanah ini diwartakan sebagai tanah MAS bagi tujuan penempatan orang-orang Melayu bersesuaian dengan situasi semasa dan demi menjamin hak kepentingan orang Melayu terjamin.

Kedudukan tanah ini adalah sangat strategik dan bernilai tinggi dan jika pembangunan dilakukan dan penjualan terbuka kepada orang-orang bukan Melayu, maka orang-orang Melayu tidak akan mampu untuk membeli dan memilikinya.

Oleh itu pada pandapat saya hasrat asal Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa untuk penempatan orang-orang Melayu perlu dikekalkan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img