KEMATIAN kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada Rabu lalu disahkan akibat rabies.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan mangsa mempunyai sejarah digigit anjing liar pada 11 Februari lalu, namun hanya mencuci luka dan tidak mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, mangsa mula menunjukkan gejala kurang selera makan, muntah, kejang leher dan hidrofobia pada 11 Mac lalu.
“Dia kemudian dibawa ke sebuah klinik pada 13 Mac, sebelum dirujuk ke HUS pada hari sama dan dimasukkan ke unit rawatan rapi pediatrik,” katanya.
Beliau berkata, ujian makmal mengesahkan mangsa dijangkiti rabies pada 14 Mac lalu sebelum meninggal dunia 18 Mac, menjadikan tiga kes rabies dicatatkan di Sarawak tahun ini.
Sehingga kini, 93 kes rabies dalam kalangan manusia dikesan sejak wabak itu diisytiharkan pada Julai 2017, dengan 86 daripadanya membabitkan kematian.
Katanya, sebanyak 4,623 kes gigitan haiwan dilaporkan di Sarawak tahun ini sehingga 14 Mac lalu, dengan purata 462 kes setiap minggu.
“Daripada jumlah itu, 2,875 kes (62.2%) melibatkan gigitan atau cakaran kucing, diikuti 1,687 kes (36.5%) melibatkan gigitan anjing, manakala 61 kes (1.3%) gigitan haiwan lain.
“Dari segi status haiwan, sebahagian besar melibatkan haiwan peliharaan sebanyak 3,169 kes (68.5%) berbanding 1,454 kes (31.5%) haiwan terbiar.”
Beliau mengingatkan orang ramai bahawa rabies boleh menular melalui gigitan, cakaran atau pendedahan kepada air liur haiwan mamalia dijangkiti virus itu, khasnya anjing dan kucing.
“Sekiranya digigit atau dicakar haiwan, luka mestilah segera dicuci dengan air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya 15 minit, diikuti rawatan segera di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta berhampiran,’’ katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak memberi makanan kepada haiwan terbiar tidak diketahui status vaksinasinya dan mengendalikan bangkai haiwan tidak diketahui punca kematiannya.
“Jadilah pemilik haiwan bertanggungjawab dengan memastikan semua anjing dan kucing peliharaan diberi vaksinasi antirabies setiap tahun dan tidak membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran tanpa pengawasan,’’ katanya.


