BENDAHARI Pas Datuk Iskandar Samad menyerahkan kepada umum untuk membuat kesimpulan berkait hantarannya di media sosial berkait ‘pengkhianatan’ dan ‘tunjuk warna sebenar’, tidak lama selepas wakil Bersatu mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perlis.
Ketua Bersatu Perlis Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Ke-12, menggantikan ADUN Sanglang Shukri Ramli daripada Pas yang meletak jawatan atas faktor kesihatan, Khamis lalu.
Sebelum ini, lapan ADUN Perikatan Nasional (PN) iaitu lima Bersatu dan tiga PAS mengemukakan akuan berkanun (SD) yang memberitahu menarik balik sokongan terhadap Shukri.
Bersatu mempunyai lima kerusi DUN di Perlis manakala Pas (9 kerusi) dan PH (1).

Menerusi hantaran di media sosialnya, tidak lama selepas majlis angkat sumpah itu, Iskandar menulis: “I am not sad but glad coz now we know their true colours. Betrayal must not go unpunished.”
Versi terjemahan berbunyi: “Saya tidak sedih, sebaliknya gembira kerana kini kita tahu warna sebenar mereka. Pengkhianatan tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman.”
Bekas ahli exco Selangor itu bagaimanapun tidak merujuk nama atau pihak tertentu atau mana-mana peristiwa.
Bercakap kepada FMT, Iskandar mendakwa kenyataannya itu bersifat umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana individu atau pihak tertentu.
“Saya buat secara umum. Boleh jadi benda lain. Awak boleh terus berteka-teki,” katanya.
Beliau juga enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan politik di Perlis itu dan menyerahkan kepada Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk membuat kenyataan.
Sementara itu, beberapa pemimpin turut membuat hantaran di media sosial tetapi secara berkias.
“Kawan makan kawan. Bermaksud kawan sudah memilih menjadi lawan,” kata Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan Pas Pusat Nurul Islam Mohamed Yusoff pula menulis: “Betul kata Datuk Amar (Naib Presiden Pas) setia dan kawan sukar untuk BERSATU.”


