KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) masih belum dimaklumkan secara rasmi oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berhubung kebenaran Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah jika bekas Perdana menteri itu menjelaskan denda RM50 juta.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya dan Jabatan Penjara tidak dapat membuat sebarang persiapan yang sewajarnya selagi belum menerima surat serta perincian mengenai pengampunan bersyarat itu.
“Saya masih lagi menunggu pemakluman, biasanya oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri yang menjadi sekretariat kepada Lembaga Pengampunan.
“Daripada pemakluman itu nanti, barulah kita jelas apakah tindakan selanjutnya yang akan kita ambil, tindakan ke arah melaksanakan keputusan tersebut sesuai dengan peruntukan undang-undang sedia ada,’’ katanya pada sidang media di Kedah, lapor FMT.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada kediaman Najib di Taman Duta sesuai dijadikan lokasi tahanan rumah.
Saifuddin berkata, KDN perlu melihat terlebih dahulu sama ada Lembaga Pengampunan telah menetapkan lokasi khusus atau menyerahkannya kepada budi bicara Jabatan Penjara.
Beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia belum mempunyai undang-undang khusus berkaitan tahanan rumah, namun menegaskan beliau sedang merangka rang undang-undang (RUU) bagi membolehkan pelaksanaan tahanan rumah, khususnya untuk tahanan reman.
“Saya sudah pun mendapat persetujuan Kabinet secara dasar untuk saya mulakan proses bentangkan Akta Tahanan Rumah di Parlimen.
“Jika rang undang-undang itu diluluskan, kita boleh keluarkan tahanan reman ini di rumah dan kita pakaikan segala peranti moden untuk mengawasi pergerakan mereka sehingga tarikh perbicaraan. Itu maksud asal yang kita bincangkan,” katanya.
Sementara itu Bernama melaporkan dua kenderaan berlogo Jabatan Penjara Malaysia dilihat memasuki pekarangan kediaman Najib di Langgak Duta, Kuala Lumpur hari ini.
Berdasarkan tinjauan, beberapa pegawai daripada jabatan berkenaan dilihat memeriksa kawasan sekitar kediaman itu selama kira-kira 15 minit sebelum kembali memasuki premis berkenaan.
Bagaimanapun, tujuan kehadiran beberapa pegawai jabatan berkenaan yang tiba di kediaman itu kira-kira 9.40 pagi tadi masih belum dapat dipastikan.





