Kejayaan Pulau Tiga sebagai kampung integrasi nasional

ARTIKEL KHAS SEMPENA HARI MALAYSIA

SETIAP kali menjelang Hari Malaysia, saya pasti membelek-belek gambar dan video yang memaparkan  usaha saya sejak 20 tahun lalu bagi menyemai penyatuan dan integrasi nasional antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak seperti mana hasrat pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Aktiviti  yang dilakukan bukan semata-mata pesta kebudayaan bersifat karnival sehari sempena Hari Malaysia  tetapi  melalui  ‘pendekatan asimilasi’ iaitu  tinggal bersama bagi membolehkan peserta saling mengenali serta memahami antara satu sama lain.

Dulu Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak bukanlah asing kepada orang Sabah dan Sarawak.  Kampung itu pernah digelar sebagai ‘Borneo di Semenanjung Malaysia’ kerana keunikannya yang dihuni ramai belia Sabah dan Sarawak bersama masyarakat tempatan dan negeri lain di bawah payung Institut Agro dan Keusahawanan (IGROW).

Pulau Tiga  berjaya menyatukan dua adat dan budaya antara wilayah berbeza, perkongsian ilmu seperti kemahiran pertanian serta keusahawanan  berjalan dalam suasana muhibah. Semuanya diilhamkan dan diselaraskan IGROW sebagai penggerak utama.

Ketika tetamu terutama pelancong luar negara berkunjung  ke Pulau Tiga, mereka menyangkakan Pulau Tiga adalah Pulau Tiga Sabah yang kebetulan mempunyai nama  sama.

Sebagai peneraju IGROW, saya sentiasa komited untuk menjadikan Pulau Tiga sebagai perkampungan integrasi nasional melalui penerapan nilai sebagai Ikon Pelajar Integrasi Nasional Pelajar Sekolah pada tahun 1988 dan pengalaman memajukan sosioekonomi di Sabah dan Sarawak.

Usaha kami ketika itu  disokong oleh pelbagai pihak terutama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yang memilih Mukim Pulau Tiga sebagai salah satu kampung di bawah program NBOS, My Kampung, My Future.

Penempatan belajar selama dua tahun membolehkan belia Sabah mendekati masyarakat semenanjung dalam proses asimilasi bersama penduduk tempatan sekitar Kampung. Gajah, Perak.

IGROW kemudiannya berjaya menambat hati Kementerian Pembangunan Luar Bandar (kini Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah) untuk membolehkan usahawan yang dilahirkan IGROW, Azri Zahier Azmi memenangi Anugerah Rural Business Challenge pada tahun 2013 bagi merancakkan Pelancongan Desa.

Akhirnya, dengan pelbagai kegiatan silang budaya antara Sabah dan Sarawak, Pulau Tiga menjadi model sosioekonomi khususnya generasi muda dari kedua-dua negeri itu.

Setiap tahun  pemimpin kedua-negeri itu  akan turun ke Pulau Tiga, diikuti kunjungan balas masyarakat dan kepimpinan Pulau Tiga ke  Sabah Sarawak.

Pada awal tahun 2014 Datuk Seri Musa Aman menjadi Ketua Menteri Sabah pertama datang ke Pulau Tiga dan Parlimen Pasir Salak.

Persembahan tarian tradisional anak Sabah menjadi sajian utama di Pulau Tiga, Kg. Gajah, Perak.

Selepas itu ramai pemimpin Sabah berkunjung ke Pulau Tiga atas semangat muhibbah antara dua wilayah termasuklah mendiang Tan Sri Joseph Kurup, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional pada tahun 2016.

Pernah berlaku MOA gagal melancarkan satu program di Sabah berikutan perselisihan pendapat mengenai  pemilihan kampung , bagaimanapun melalui usaha IGROW, ia dapat diselesaikan.

Saya terkejut apabila baru-baru ini, usahawan  Sabah yang pernah disatukan dalam program Komuniti Ekonomi Integrasi Nasional (KENAL) masih berhubung dengan penduduk Pulau Tiga, Kampung Gajah bagi  membincangkan bisnes masing-masing.

Secara peribadi, ibu bapa saya juga pernah  dijaga hingga akhir hayat oleh anak-anak muda Sabah sehingga mereka bagaikan cucu kepada orang tua kami.

Hari ini, IGROW masih meneruskan kegiatan sosioekonomi bersama Sabah dan Labuan tetapi pendekatan integrasi nasional tidak dapat dikembangkan seperti dulu.

Malang sekali, usaha yang dipelopori IGROW hampir 20 tahun lalu, tidak dapat berkembang selepas tahun 2016.

Ia bukan sahaja disebabkan krisis politik tetapi juga kegagalan pelbagai pihak melihat kejayaan model  integrasi secara asimilasi yang saya perjuangkan. Akibatnya jurang antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak semakin jauh akibat perbezaan ideologi politik serta sikap ungkit mengungkit perkara silam.

Memandangkan kami bergerak atas entiti sosioekonomi, kesungguhan yang kami tunjukkan dianggap cuba mengaut keuntungan dan membentuk pelbagai persepsi lain, sedangkan formula kami ternyata mampu melaksanakan dasar integrasi nasional  lebih cepat, cekap, jimat dan berkesan.

Selagi terdaya, saya akan meneruskan usaha memperkembangkan  integrasi nasional ini tetapi biarlah saya menyimpan kebimbangan saya  terhadap masa depan integrasi nasional kita dan apa kesannya kepada negara. Sebenarnya hari ini kita sudah menyaksikan bibit-bibit yang mencetuskan keresahan itu. Semua sedar tetapi bersikap tidak perlu bersusah payah asalkan terus berkuasa. Lepas ini, apa yang berlaku, lantaklah.

*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosioekonomi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img