Kementerian Komunikasi rancang wajibkan pengesahan identiti pengiklan media sosial

KEMENTERIAN Komunikasi bercadang mewajibkan semua pengiklan yang menggunakan perkhidmatan iklan berbayar atau sponsored advertisement dalam platform media sosial mengesahkan identiti mereka bagi membendung aktiviti penipuan dalam talian.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, langkah itu yang turut menyasarkan aktiviti perjudian digital dan penyalahgunaan identiti tokoh terkenal merupakan antara tanggungjawab baharu di bawah Kod Pengurangan Risiko (RMC).

Menurut beliau, kod tersebut akan berkuat kuasa esok di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) dan terpakai kepada penyedia platform media sosial yang diklasifikasikan sebagai pemegang lesen iaitu yang mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia.

“Kita banyak melihat sponsored post menggunakan wajah individu terkenal untuk buat kandungan seperti pelaburan meragukan, penipuan kewangan serta perjudian dalam talian dan setakat ini sukar untuk mengambil tindakan kerana kita tidak mengetahui siapa yang sebenarnya membayar iklan tersebut,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Parlimen Kota Melaka bagi Dewan Undangan (DUN) Negeri Banda Hilir di Taman Kota Laksamana Cheng Ho di Melaka hari ini.

Nie Ching dalam pada itu berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mewajibkan setiap pengiklan, sama ada individu atau entiti berdaftar melalui proses pengesahan identiti oleh pihak platform sebelum mereka dibenarkan menyiarkan iklan berbayar.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, penyedia platform media sosial digesa memberikan kerjasama penuh dalam mematuhi RMC serta Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang mula berkuat kuasa esok, demi menjamin keselamatan pengguna Internet.

Mengenai mekanisme pengesahan umur bagi menghalang individu di bawah 16 tahun daripada membuka akaun media sosial yang turut berkuat kuasa esok, Nie Ching menjelaskan dokumen rasmi seperti kad pengenalan atau pasport diperlukan bagi tujuan pendaftaran.

Beliau mengakui terdapat segelintir ibu bapa yang masih mencari pendekatan terbaik untuk meyakinkan anak-anak mengenai langkah keselamatan tersebut, namun majoritinya menyokong penuh inisiatif berkenaan.

“Memang ibu bapa sangat sokong kerana mereka faham Internet ini memang banyak isu seperti buli siber, penderaan seksual dan child grooming (antun seksual kanak-kanak), yang semua ini adalah isu-isu yang dihadapi oleh ibu bapa,” katanya.

Katanya, kerajaan akan memberi tempoh munasabah kepada penyedia platform untuk memenuhi tanggungjawab baharu ini, namun tahap pematuhan yang tinggi amat diharapkan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img