
PADA tahun lalu, Bersatu begitu sibuk dengan soal calon Perdana Menteri sehinggakan ketika perhimpunan tahunan parti itu, mereka menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin -Presiden dan Pengasas Bersatu sebagai calon bagi jawatan berkenaan.
Tindakan itu menimbulkan perasaan tidak puas hati kepada Pas yang menyifatkan pencalonan itu terlalu awal. Pas berpendapat sebaiknya tumpuan diberikan untuk menang PRU terlebih dahulu.
Pada penghujung tahun lalu pula, Bersatu sendiri buat kecoh apabila Muhyiddin meletak jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN). Apabila Pas bersetuju untuk menerima peletakan jawatan itu, Bersatu kecoh minta ia disahkan dalam mesyuarat Majlis Presiden.
Bersatu ‘kecoh’ lagi apabila Pas mahu mencalonkan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr.Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Naib Presiden Pas bagi menggantikan Muhyiddin. Entah ‘undang-undang mana mereka rujuk, peraturan mana yang mereka kaji’ apabila menyatakan Pengerusi PN mestilah dalam kalangan Presiden parti.
Harapan Bersatu ialah memandangkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah mengumumkan tidak mahu menjadi Pengerusi PN manakala Presiden Gerakan dan MIPP tidak mungkin layak memegang jawatan itu, Bersatu ‘memasang impian’ Muhyiddin dikekalkan.
Tetapi kali ini ia tidak menjadi kenyataan apabila Pas konsisten dengan pendiriannya mahu Ahmad Samsuri mengambil alih jawatan Pengerusi PN. Maka Bersatu tidak ada pilihan..terpaksa akur. Pada tahun ini pula, pergolakan dalaman Bersatu sudah tidak terbendung lagi.
Ketua Pembangkang yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat daripada Bersatu bersama 16 pemimpin yang lain. Keseluruhan terdapat enam ahli Parlimen Bersatu mengalami nasib tersebut.
Berikutan itu Bersatu ‘kepoh’ lagi apabila mempersoalkan kenapa PN tidak menggugurkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang memandangkan Ahli Parlimen Larut itu sudah menjadi Ahli Parlimen Bebas. Sekali lagi ‘entah undang-undang mana mereka merujuk, entah peraturan mana yang mereka kaji’ sehingga menganggap Ahli Parlimen Bebas tidak boleh jadi Ketua Pembangkang.
Mereka buat-buat tak faham untuk pelantikan Ketua Pembangkang, ia tidak semestinya Presiden parti atau Presiden daripada parti yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak. Buat masa ini, pemimpin Bersatu termasuklah yang tidak pernah bertanding dalam pilihan raya tidak payah hendak menyibuk kenapa Pas belum lagi membuat keputusan berhubung jawatan itu.
Pas pasti tahu bila masanya mereka akan mengumumkan siapa Ketua Pembangkang. Seperti mana kata Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam di Parlimen, ‘’setakat ini tidak ada apa-apa perubahan berhubung kedudukan Ketua Pembangkang’’.
Maknanya pemimpin Bersatu tidak perlu lagi ‘panas satu badan’ bila melihat Hamzah yang dipecat parti itu masih memegang jawatan berkenaan. Lagipun salah satu kriteria atau prasyarat bagi jawatan tersebut ialah mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen pembangkang.
Penulis difahamkan Hamzah ada sokongan tersebut…berapa jumlah biarlah rahsia…apabila tiba masanya Pas pasti akan umumkan. Buat masa ini Pas mahu tumpukan kepada sidang Dewan Rakyat, bukannya mahu bersikap seperti Bersatu tak habis-habis terlibat dalam soal polemik jawatan.
Seperti mana kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pusat Khairul Nazir Helmi ketika mengulas desakan pemimpin Bersatu, ‘“Kita perlu tahu apa yang mesti didahulukan. Keutamaan ketika ini ialah mempertahankan hak rakyat dalam perbahasan Parlimen, bukan polemik jawatan.’’
Daripada dok sibuk soal Ketua Pembangkang, lebih baik pemimpin Bersatu tumpu kepada usaha menyelamatkan parti itu yang kini terumbang ambing berikutan tindakan keluar parti yang kini ‘semakin meriah’ dan akan bertambah meriah dalam masa terdekat.


