PELBAGAI spekulasi dibuat selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menubuhkan Kerajaan Perpaduan di Sabah yang turut disertai oleh Barisan Nasional (BN).
Ia termasuklah kemungkinan Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal akan melakukan gerakan untuk membeli atau memujuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi menumbangkan pentadbiran Datuk Seri Hajiji Noor.
Pada masa sama juga, kebimbangan juga timbul apabila ada wakil rakyat dalam parti-parti yang bergabung bersama Ketua Menteri Sabah itu tidak berpuashati dengan penyertaan BN dalam kerajaan.
Selain itu ada juga yang tertanya-tanya bagaimana dengan 5 ADUN Bebas yang semalam tidak diberikan apa-apa jawatan dalam Kabinet Sabah.
Hari ini spekulasi itu berakhir apabila Mohd Shafie menafikan sebarang gerakan untuk membeli ADUN manakala empat ADUN Bebas antara 17 wakil rakyat mengangkat sumpah sebagai Pembantu Menteri.
Dalam kenyataannya, Mohd Shafie juga bekas Ketua Menteri berkata, komitmen parti itu sentiasa berteraskan integriti dan kepimpinan mesti diperoleh melalui kepercayaan rakyat.
“Warisan menghormati mandat rakyat dan proses demokrasi yang menjadi asas pentadbiran Sabah.
“Kami akan terus melaksanakan peranan telah diamanahkan dengan penuh maruah, konsisten dan dengan iltizam tidak berbelah bahagi untuk berkhidmat kepada Sabah,” katanya
Semalam, FMT memetik sumber dalaman Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melaporkan wujud usaha daripada Warisan untuk menjatuhkan kerajaan GRS Plus, antaranya dengan menawarkan jawatan menteri penuh kepada wakil rakyat BN serta lima ADUN Bebas.
Sementara itu, mengangkat sumpah sebagai pembantu menteri ialah Fairuz Renddan (Pintasan), Rina Jainal (Kukusan), Maijol Mahap (Bandau) dan Jordan Jude Ellron (Tulid).
Pejabat Media dan Komunikasi Jabatan Ketua Menteri memaklumkan kesemua wakil rakyat terbabit telah mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan di hadapan Yang Dipertua Negeri Musa Haji Aman di Istana Seri Kinabalu.
Wakil rakyat dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mengangkat sumpah adalah Joniston Bangkuai (Kiulu), Ruddy Awah (Pitas), Isnin Aliasnih (Klias), Samad Jamri (Labuk), Limus Jury (Kuala Penyu) dan Ruslan Muharam (Lumadan)
Hendrus Anding (Tandek), Jonnybone J Kurum (Telupid), Juil Nuatim (Limbahau), Ben Chong (Tanjong Kapur), Dr Andi MD Samsureezal (Tanjung Batu) dan Ceasar Mandela Malakun (ADUN dilantik.)
Adun Bingkor Mohd Ishak Ayub, satu-satunya wakil rakyat dari Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dilantik ke jawatan itu meskipun Presidennya Jeffrey Kitingan mahu kekal sebagai pembangkang.
Tiada wakil Barisan Nasional (BN) dilantik sebagai pembantu menteri walaupun bersama dalam kerajaan GRS Plus itu.


