UMNO dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri susulan sokongan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN).
Dalam kenyataan malam ini, BN negeri turut menghargai keprihatinan yang dizahirkan oleh ADUN PN berhubung situasi yang melanda pentadbiran kerajaan negeri pada masa ini, sekali gus menyambut baik kesediaan lima ADUN PN untuk bekerjasama demi menjamin kelangsungan pentadbiran.
“Dalam situasi luar biasa ini, kepentingan rakyat Negeri Sembilan mengatasi segala kepentingan kepartian. Kami berjiwa besar untuk mengetepikan perbezaan ideologi demi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk dengan segera,” menurut kenyataan itu.
Agak menarik apabila kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menyatakan Perikatan Nasional (PN) cuba merangkul peluang berikut kemelut politik di Negeri Sembilan.
Hari ini BN yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Negeri Sembilan atas nama Kerajaan Perpaduan menarik sokongan terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.
Dalam kenyataan itu juga, BN Negeri Sembilan menegaskan sikap pragmatik dan inklusif serta percaya penyatuan suara majoriti ADUN mampu memberikan naratif baharu yang lebih kukuh untuk memacu pembangunan negeri dan mempertahankan adat di negeri ini.
Pada masa sama, BN Negeri Sembilan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan kestabilan pentadbiran kerajaan negeri dapat diteruskan demi kepentingan rakyat.


