KERAJAAN menzahirkan kebimbangan terhadap perkembangan konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Asia Barat yang berpotensi memberi kesan kepada ekonomi global termasuk keupayaan mengekalkan kawalan harga minyak di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sedang memantau rapat situasi semasa susulan serangan AS dan Israel ke atas Iran kerana ia boleh memberi implikasi besar terhadap geopolitik serta perdagangan antarabangsa.
Menurutnya, antara perkembangan yang diberi perhatian adalah kesesakan kapal minyak dan gas di Selat Hormuz yang menjadi laluan penting perdagangan tenaga dunia.
“Kita ikuti perkembangan yang tentunya menggusarkan kerana peperangan belum selesai akibat serangan AS dan Israel ke atas Iran.
“Dalam keadaan sekarang, sementara ini nampak masih dikawal, tetapi kita tahu kapal-kapal minyak dan gas serta peralatan itu tersangkut di Selat Hormuz. Sudah melebihi 200 kapal dan tentunya akan menjejaskan perniagaan serta perdagangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall, Putrajaya hari ini.
Menurut Anwar, situasi tersebut turut meningkatkan kos pengangkutan kerana laluan lebih jauh terpaksa digunakan bagi mengelakkan kawasan konflik.
Tambahnya, kerajaan akan mengambil langkah segera bagi menangani sebarang kesan ekonomi sekiranya konflik itu berlarutan.
“Kalau keadaan ini berlanjutan, kos barangan serta kos import bagi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SME) dan juga import makanan akan meningkat.
“Setakat ini kita cuba kawal (harga minyak) RON95 pada kadar RM1.99 seliter namun, keadaan ini kita pantau kerana buat masa ini kita mungkin boleh bertahan dalam tempoh satu hingga dua bulan,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan rakyat, penjawat awam dan komuniti perniagaan supaya tidak memandang ringan perkembangan konflik tersebut.
“Jangan pandang ringan. Kalau kita saksikan berterusan kegiatan ini, ia boleh menjadi satu krisis ekonomi yang lebih besar daripada yang dijangka,” katanya.


