Kerajaan belum capai sebarang persetujuan beri bantuan kewangan kepada AirAsia

KERAJAAN belum mencapai sebarang persetujuan atau komitmen untuk memberikan bantuan kewangan kepada syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia, yang berdepan tekanan kewangan susulan konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan mengambil maklum laporan mengenai kerugian besar yang dialami syarikat penerbangan itu berikutan kenaikan harga bahan api pesawat.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan mengadakan perbincangan berkala dengan pemain industri penerbangan bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai kesan krisis Asia Barat, sama seperti penglibatan dengan pihak berkepentingan dalam sektor lain yang turut terjejas.

“Sebarang permohonan bantuan kerajaan oleh syarikat dalam mana-mana sektor akan dipertimbangkan berdasarkan kepentingan negara, kemampanan fiskal dan perlindungan wang awam.

“Buat masa ini, kerajaan belum membuat sebarang persetujuan atau komitmen untuk menawarkan sokongan kewangan kepada AirAsia, sama ada dalam bentuk jaminan, pinjaman atau suntikan dana awam,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Beliau menjawab soalan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan mempertimbangkan bantuan kepada AirAsia susulan masalah kewangan yang dihadapi syarikat itu.

Anwar berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan syarikat penerbangan berkenaan dan tidak akan mengulas spekulasi yang dilaporkan media.

Sebelum ini, Reuters melaporkan AirAsia sedang berusaha mendapatkan pembiayaan sehingga AS$1 bilion (RM4.08 bilion) daripada pasaran hutang antarabangsa serta kemudahan kredit tempatan berjumlah RM700 juta, terutama bagi membiayai semula hutang sedia ada.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata AirAsia memainkan peranan penting dalam menyediakan jaringan pengangkutan udara ke Sabah dan Sarawak apabila mengendalikan 66 peratus penerbangan dari dan ke kedua-dua negeri itu pada 2025.

Beliau berkata syarikat penerbangan berkenaan membawa 62 peratus penumpang udara di Sabah dan 70 peratus di Sarawak, tidak termasuk lapangan terbang yang mempunyai kemudahan pendaratan dan pelepasan pendek (STOL).

Menurutnya, lapangan terbang yang mencatatkan peratusan tertinggi penumpang AirAsia di kedua-dua negeri itu ialah Sibu (79 peratus), Bintulu (77 peratus), Sandakan (75 peratus), Kuching (72 peratus), Tawau (70 peratus), Miri (63 peratus) dan Kota Kinabalu (62 peratus).

Di Semenanjung Malaysia, negeri yang mencatatkan peratusan tertinggi penumpang AirAsia pada tahun lalu ialah Johor (70 peratus), Terengganu (56 peratus), Kedah masing-masing 56 peratus di Langkawi dan 49 peratus di Alor Setar, serta Kelantan (46 peratus).

“Di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), AirAsia membawa tiga perempat daripada keseluruhan penumpang yang dikendalikan,” katanya.

Pada peringkat nasional, Anwar berkata AirAsia mengendalikan 41 peratus daripada keseluruhan 104.5 juta penumpang di lapangan terbang seluruh negara, dengan hampir 60 peratus daripadanya merupakan penumpang domestik.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here