Kementerian Zahid terima tambahan RM500 juta susulan peruntukan tidak mencukupi

KEMENTERIAN Kewangan meluluskan tambahan RM500 juta kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas kementerian itu membelanjakan melebihi peruntukan asal bagi tahun ini.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata KKDW yang diterajui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini menerima peruntukan RM2.11 bilion bagi 2026, meningkat RM500 juta berbanding 2025.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan itu dibuat susulan perbelanjaan kementerian berkenaan yang melebihi peruntukan pada 2023, 2024 dan 2025.

Bagaimanapun, peruntukan tambahan itu masih tidak mencukupi, sekali gus mendorong Kementerian Kewangan mengambil beberapa langkah bagi menangani isu berkenaan.

“Pertama, kita mengenal pasti penjimatan perbelanjaan pembangunan di kementerian lain dan, setakat ini, meluluskan tambahan RM500 juta kepada KKDW bagi 2026 melalui surat kebenaran berbelanja melebihi peruntukan.

“Kedua, pada 10 September lalu, kementerian itu diarahkan menangguhkan pengeluaran surat setuju terima baharu bagi projek jalan luar bandar bagi mengelakkan pertambahan tunggakan bayaran sedia ada kepada kontraktor.

“Ketiga, kementerian diminta menyediakan unjuran keperluan peruntukan bagi projek jalan luar bandar untuk baki tahun ini dan 2027 berdasarkan kontrak yang sudah dianugerahkan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Anwar menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta penjelasan mengenai tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab atas perbelanjaan berlebihan secara berterusan oleh KKDW.

Lim turut meminta penjelasan sama ada kontraktor bagi projek kementerian itu dipilih melalui proses tender terbuka.

Anwar berkata, Kementerian Kewangan memperkenalkan sistem tender terbuka terpilih berdasarkan prakelayakan di KKDW pada 2023.

Bagaimanapun, katanya, Laporan Ketua Audit Negara tahun lalu mendapati sistem berkenaan gagal mencapai objektif asal yang ditetapkan kerajaan.

“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan menghentikan penggunaan sistem ini bagi projek baharu di KKDW,” katanya.

Pada Oktober lalu, Ahmad Zahid menyuarakan rasa kecewa berhubung kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek di bawah kementeriannya.

Beliau berkata, terdapat kontraktor yang terpaksa menutup operasi akibat masalah aliran tunai berikutan kelewatan pembayaran berkenaan.

Sehari kemudian, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, menjelaskan kelewatan itu berlaku kerana sebahagian besar peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar tahun ini sudah dibelanjakan.

Menurutnya, kementerian itu secara konsisten membelanjakan melebihi peruntukan yang diluluskan bagi projek jalan luar bandar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan jumlah perbelanjaan melebihi peruntukan terkumpul sebanyak RM2.1 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here