KERAJAAN memperkenalkan inisiatif Perantara Rujukan, Intervensi, Sokongan, Maklumat dan Advokasi untuk Wanita (PRISMAnita) serta insentif pengecualian cukai kepada badan korporat sebagai sebahagian usaha memperkukuh agenda pemerkasaan wanita di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PRISMAnita diwujudkan bagi memudahkan wanita mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan sokongan secara lebih cekap, pantas dan terselaras.
Menurut beliau, inisiatif yang diterajui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu bukan sahaja melibatkan agensi kementerian berkenaan, malah memerlukan kerjasama semua kementerian dan jabatan kerajaan supaya program berkaitan wanita dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“PRISMAnita berperanan memudahkan akses kepada perkhidmatan yang lebih cekap, pantas, terselaras dan mesra kepada wanita.
“Inisiatif ini tidak terhad kepada agensi di bawah KPWKM sahaja, tetapi perlu didukung sepenuhnya oleh semua kementerian dan jabatan berkaitan supaya program berkaitan wanita tidak bergerak secara silo,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 (SHWA2026) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah beliau, melalui penyelarasan yang digerakkan oleh Ketua Setiausaha Negara, agenda wanita akan terus diketengahkan dalam mesyuarat penyelarasan kerajaan bagi memastikan sokongan yang diberikan lebih menyeluruh.
“PRISMAnita menyediakan sokongan yang merangkumi khidmat nasihat, rujukan serta penyelarasan kes bersama pelbagai kementerian.
“Fokusnya termasuk platform maklumat, pemadanan perkhidmatan serta sokongan kepada wanita ketika menghadapi krisis,” katanya.
Menurut beliau, platform tersebut turut memainkan peranan dalam advokasi termasuk memberi kefahaman mengenai pelaksanaan Akta Anti-Gangguan Seksual 2022, Akta Keganasan Rumah Tangga serta peraturan berkaitan bagi melindungi hak wanita.
“Perkhidmatan melalui bimbingan dan kaunseling akan diteruskan dan PRISMAnita akan ditempatkan di semua Pejabat Pembangunan Wanita Negeri di seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan turut memperkenalkan insentif pengecualian cukai kepada badan korporat melalui skim perlindungan Lindung Kasih sebagai sebahagian usaha memperkasa wanita selaras dengan Dasar Wanita Negara 2005–2030.
“Insentif cukai ini merangkumi sokongan dalam bidang penjagaan anak, pengaturan kerja fleksibel, program sokongan kerjaya, latihan kemahiran serta dasar berkaitan isu keluarga,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkasa wanita dalam bidang ekonomi, kepimpinan, keselamatan dan kesejahteraan.
Majlis sambutan berkenaan turut menyampaikan beberapa anugerah berprestij kepada individu dan organisasi yang aktif memperjuangkan hak serta kemajuan wanita iaitu Anugerah Ikon Wanita 2026, Anugerah Syarikat Mesra Wanita 2026 dan Anugerah NGO Pemerkasa Komuniti Wanita 2026.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying; Ketua Setiausaha KPWKM, Maziah Che Yusoff serta wakil diplomatik dan pegawai kanan kerajaan.


