DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan masyarakat India tidak akan sesekali dipinggirkan, sebaliknya Kerajaan MADANI akan terus memperluas pelbagai inisiatif bagi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan komuniti itu.
Perdana Menteri berkata, pelbagai ikhtiar telah digerakkan kerajaan meliputi bidang pendidikan, keusahawanan, pembiayaan mikro, kebajikan dan bantuan tunai bagi meringankan beban keluarga serta meningkatkan taraf hidup masyarakat India.

“Saya tegaskan bahawa masyarakat India tidak akan sesekali dipinggirkan dan Kerajaan MADANI akan terus memperluas akses pembiayaan kepada usahawan, memperkukuh MITRA (Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia), memperkasa latihan keusahawanan dan TVET (Latihan Teknik dan Vokasional) serta membuka lebih banyak ruang pembangunan belia melalui program mentor-mentee,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau malam ini.
Anwar berkata demikian selepas meneruskan siri libat urus bersama pimpinan masyarakat India bagi meneliti kemajuan pelaksanaan agenda Kerajaan MADANI, selain mendengar pandangan serta keresahan yang masih membelenggu komuniti berkenaan.
Menurut beliau, pada masa sama, segala kelompongan yang masih wujud, termasuk berkaitan kemiskinan, kewarganegaraan dan akses kepada bantuan, perlu ditangani dengan segera dan berkesan.
Beliau turut menegaskan kementerian dan agensi berkaitan perlu memperkukuh sinergi serta memperkemas penyampaian bagi memastikan setiap peruntukan dan dasar yang dilaksanakan benar-benar sampai kepada golongan sasaran.
“Setiap peruntukan serta dasar yang digerakkan benar-benar sampai kepada sasaran dan membawa perubahan yang nyata dalam kehidupan rakyat,” katanya.





