Kerajaan teliti kedudukan produk Bumiputera, perkukuh TVET mulai 2027

KERAJAAN akan memperkukuh daya saing produk usahawan Bumiputera dalam sektor peruncitan, selain memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kurikulum persekolahan mulai 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) bagi meneliti kemajuan agenda pemerkasaan sosioekonomi Bumiputera di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera (PuTERA35).

GAMBAR: Facebook Anwar Ibrahim

Beliau berkata, kedudukan produk tempatan, khususnya keluaran usahawan Bumiputera dalam sektor peruncitan perlu diberi perhatian bagi memastikan produk berkenaan mampu bersaing dengan lebih baik di pasaran.

“Turut dibincangkan ialah usaha memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kurikulum persekolahan pada 2027,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, setiap kementerian dan agensi juga perlu menilai pencapaian pelaksanaan PuTERA35, selain mengenal pasti kekangan yang menghalang keberkesanan program serta langkah penambahbaikan yang perlu dilaksanakan.

“Saya tegaskan bahawa setiap kementerian dan agensi mesti melihat apa yang telah dicapai, mengenal pasti kekangan pelaksanaan dan menentukan apa yang perlu diperbaiki.

“Program yang bertindih perlu diselaraskan supaya sumber dapat ditumpukan kepada usaha yang membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat Bumiputera,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, agenda pembangunan Bumiputera di Sabah dan Sarawak turut diberi perhatian khusus bagi memastikan manfaat pelaksanaan PuTERA35 dapat dinikmati secara menyeluruh.

Katanya, pengaktifan semula Majlis Ekonomi Bumiputera bagi kedua-dua negeri itu penting untuk memperkukuh penyelarasan antara pihak berkaitan.

Langkah berkenaan juga bertujuan memastikan pelaksanaan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, termasuk kepada masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here