Kerajaan tidak dedahkan transaksi, tempoh pegangan saham babitkan Azam Baki – Azalina

KERAJAAN tidak akan mendedahkan senarai transaksi pembelian saham serta tempoh pegangan saham melebihi nilai RM100,000 membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kerana ia adalah sebahagian daripada dokumen siasatan dan maklumat peribadi yang dilindungi undang-undang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, isu berkaitan pemilikan dan perisytiharan harta termasuk pegangan saham Azam itu sudah diteliti Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan pada 13 Februari lalu.

“Jawatankuasa berkenaan sudah menyelesaikan siasatannya secara bebas, telus serta profesional, dan hasil siasatan telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Untuk mendapatkan senarai transaksi pembelian saham serta tempoh pegangan yang melebihi nilai tertentu, maklumat yang diminta adalah sebahagian daripada dokumen siasatan, maklumat peribadi serta perisytiharan harta yang dilindungi bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan tidak menjadi dokumen awam,” katanya dalam jawapan bertulis semalam, yang disiarkan melalui laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) yang meminta kerajaan menyenaraikan transaksi pembelian saham Azam dari 2012 hingga 2026 serta menyatakan tempoh masa apabila jumlah pegangan saham melebihi RM100,000.

Sebelum ini, Bloomberg melaporkan Azam, 62, didakwa memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia, berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.

Menurut laporan Bloomberg lagi, nama Azam tersenarai dalam daftar pemegang saham Velocity Capital di SSM yang boleh diakses melalui pangkalan data berbayar dan dikemas kini secara berkala.

Bagaimanapun, Azam dilapor menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Memaklumkan lanjut, Azalina berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa semua aspek berkaitan, termasuk pemilikan saham serta pematuhan terhadap peraturan yang berkuat kuasa, sudah diteliti dalam siasatan itu dan tindakan yang sewajarnya telah diambil berdasarkan dapatan jawatankuasa berkenaan.

“Sehubungan itu, sekiranya terdapat sebarang perkembangan atau keputusan rasmi berkaitan perkara ini yang wajar dimaklumkan kepada umum, pengumuman mengenainya akan dibuat oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara sebagaimana kenyataan media yang dibuat pada 31 Mac 2026,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img