SEBUAH kereta yang dipandu oleh seorang pekerja bank wanita berusia 51 tahun terbakar selepas terbabas di Jalan Gapam-Bemban Jasin, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superitenden Lee Robert berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin pada pukul lebih kurang 6.30 petang.
Katanya dalam satu kenyataan hari ini, bagaimanapun wanita itu tersebut berjaya menyelamatkan diri sebelum kenderaan berkenaan terbakar sepenuhnya.
Lee berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa terbabas sendiri sebelum melanggar tiang di pembahagi jalan.
“Akibat pelanggaran itu, kenderaan berkenaan terbakar sepenuhnya. Bagaimanapun, mangsa berjaya keluar dari kenderaan dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.


