Keringat,kesakitan,air mata Syed Saddiq demi penduduk Muar

FOKUS

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melangkah ke garisan penamat  cabaran IronMan Malaysia 2025 di Langkawi semalam bukan sahaja dengan bermandikan peluh tetapi juga tangisan – tangisan kepuasan selepas berjaya menamatkan cabaran itu dalam masa 12 jam 22 minit.

Catatan masa tersebut pula bukan sekadar mengatasi rekod peribadinya pada 2024 iaitu 13 Jam 13 minit malah membolehkan anak kelahiran Pulai  Johor berusia 33 tahun itu meraihkan RM1 juta daripada syarikat pengeluar fesyen tempatan, Prima Valet yang berjanji menghadiahkan wang tersebut jika Syed Saddiq menghabiskan cabaran dengan catatan masa di bawah 13 jam.

Adakah sumbangan itu akan menjadikan Syed Saddiq seorang jutawan? Bukan itu yang dicita-citakan oleh Syed Saddiq dan bukan itu yang diimpikan beliau. Sebaliknya beliau bermandikan keringat, menahan kesakitan dan mencapai kejayaan dengan diiringi tangisan adalah demi penduduk Muar.

‘’ Lakukan ini untuk Muar. Bantuan kebajikan bernilai RM1 juta berjaya dicapai — cabaran ditunaikan. Ya, saya menangis. Menangis sepuas-puasnya. Tapi semua itu berbaloi. Berkali-kali rasa nak pitam, seluruh badan kejang, keluar masuk tandas sebab muntah, dan makanan langsung tak dapat dihadam. Tapi saya berjaya.,’’ catatnya dalam Facebook beliau.

Ini  bukan kali pertama beliau melakukan sedemikian selepas tidak mendapat peruntukan sebagai Ahli Parlimen daripada Kerajaan Persekutuan, malah sejak tahun lalu lagi anak muda ini melakukan pelbagai usaha bagi memperolehi pendapatan untuk membantu rakyat Muar.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjadi duta produk bersama Bella.

Untuk rekod pada Julai lalu Syed Saddiq memaklumkan kawasan Parlimennya akhirnya menerima peruntukan RM200,000 selepas lebih 500 hari berunding.

Bagaimanapun, beliau berkata, peruntukan itu disertakan dengan syarat yang ketat dan hanya terhad kepada tujuan pentadbiran seperti bayaran sewa pejabat, gaji staf, peralatan serta pengurusan pejabat sahaja.

“Peruntukan itu tidak boleh digunakan untuk sebarang bantuan kebajikan, baik pulih infrastruktur mahupun sebarang bentuk sumbangan kepada rakyat. Ia akan diaudit sepenuhnya dan saya setuju 100 peratus,” katanya.

Dalam wawancara bersama portal mstar pada Ogos lalu, Syed Saddiq berkata, sejak melibatkan diri menjadi duta pelbagai produk mulai Januari tahun ini beliau berjaya mengumpul dana sebanyak RM2 juta untuk disalurkan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Saya dapat kumpul melebihi RM2 juta untuk Muar sepanjang kerjasama dengan pelbagai jenama sejak Disember tahun lalu. Insya-Allah akan ada empat jenama lagi yang bakal berkolaborasi selepas ini dan saya jangkakan pada akhir tahun ini ia akan mencecah RM2.5 juta sehingga RM3 juta,” katanya sambil menegaskan setiap peluang yang diperoleh adalah untuk manfaat penduduk Muar dan yakin pintu rezeki Allah sentiasa terbuka.

Sememangnya Syed Saddiq tidak bercakap kosong atau menabur janji palsu, beliau benar-benar melaksanakan apa yang dijanjikan kepada penduduk Muar, biarpun berhadapan dengan kekangan kewangan.

Mungkin atas kesungguhan itulah penduduk Muar memastikan Syed Saddiq memasuki penggal kedua sebagai Ahli Parlimen Muar selepas memenangi kali pertama pada PRU-14 dengan menewaskan dua pencabarnya dari Barisan Nasional dan Perikatan Nasional melalui peroleh majoriti 6,953 undi.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menziarahi salah seorang penduduk di Muar.

Selepas itu, ternyata keputusan penduduk Muar memberi kemenangan dengan majoriti 1,345 undi kepada Syed Saddiq pada PRU-15 lalu tidak sia-sia, apabila beliau benar-benar berusaha untuk memperjuangkan dan membela nasib mereka.

Sesungguhnya apa yang dilakukan oleh Syed Saddiq melalui usaha mengumpul wang demi penduduk kawasan Parlimennya dengan menyertai Ironman dan menjadi model serta duta produk jarang atau tidak pernah dilakukan oleh YB-YB.

Hakikatnya apabila peruntukan disekat, Syed Saddiq tidak ada pilihan untuk membantu mereka yang memilih beliau sebagai wakil rakyat, selain melakukan aktiviti tersebut. Ia kerana beliau telah diberi amanah maka apa cara sekalipun ia mesti dilaksanakan.  Bertuahlah orang Muar memiliki wakil rakyat seperti Syed Saddiq.

Semoga apa yang dilakukan oleh Syed Saddiq bukan sahaja menjadi contoh kepada ahli politik lain tetapi juga memberi mesej yang jelas bahawa ‘pintu rezeki Allah SWT sentiasa terbuka! Yang penting adalah keazaman dan usaha..itulah yang dilakukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman!

Tahniah YB, anda bukan sahaja seorang Yang Berhormat tetapi Yang Berkorban dan Yang Berkhidmat.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img