Kerisauan ibu ‘live location’ terhenti akhirnya terjawab, anak maut dalam nahas 3 kenderaan

NALURI seorang ibu yang berasa tidak sedap hati apabila lokasi masa sebenar (live location) anak lelakinya tidak bergerak akhirnya terjawab apabila anaknya itu maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Lebuhraya Senai-Desaru di Johor Bahru, awal pagi ini.

Ammar Azwar Asri, 21, sebelum itu berkongsi lokasi kepada ibunya namun ia mencetuskan kebimbangan wanita itu kerana terhenti walaupun diperiksa beberapa kali sekitar jam 5 pagi.

Pemuda itu yang memandu kereta Proton Saga merupakan salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 45.6 Lebuhraya Senai–Desaru kira-kira jam 5 pagi ini.

Bapa saudara mangsa, Suhaimi Abu Naim, 58, berkata, detik cemas itu dikongsikan sendiri oleh ibu arwah sebelum mendapat berita Ammar Azwar terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Menurutnya, ibu arwah ada memberitahu, sebelum kejadian,  Ammar Azwar berat hati untuk pulang ke kampung dan mahu berehat dulu.

“Ibu mangsa memberitahu dia menyedari live location anaknya itu tidak bergerak. Bila dihubungi, telefon tidak dijawab.

“Pada mulanya kami sangka bateri telefon habis, tetapi perasaan tidak sedap hati mula timbul dan akhirnya terjawab apabila mendapat berita Ammar Azwar terlibat nahas,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), lapor Sinar Harian.

Bekas anggota tentera darat itu memaklumkan Ammar baharu bekerja selama dua bulan sebagai juruteknik di Rapid Pengerang, Kota Tinggi selepas tamat belajar di sebuah kolej di Kedah.

“Allahyarham mahu menghadiri beberapa majlis keluarga di Batu Pahat, termasuk pertunangan sepupu serta doa selamat.

“Ammar anak sulung daripada dua beradik merupakan seorang yang sentiasa ceria, suka bergurau dan menghidupkan suasana,” katanya.

Jenazah dituntut ahli keluarga kira-kira jam 4.40 petang selepas bedah siasat di Unit Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) selesai dan akan dikebumikan malam ini di Kampung Parit Siba, Batu Pahat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi memberitahu identiti dua mangsa maut dikenali sebagai Yen Jian Yao, 19, merupakan pemandu Proton Wira manakala pemandu Proton Saga dikenali sebagai Ammar Azwar Asri, 21.

Jelas beliau, setakat ini, siasatan awal mendapati pemandu Proton Wira tiada lesen kenderaan.

“Tiga lagi pemumpang Proton Wira mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dibawa ke HSI untuk rawatan lanjut.

“Manakala pemandu Perodua Myvi dikenali sebagai Nur Nalea Nazlin Mahmud, 23, juga bekerja di Rapid Pengerang cedera parah di kaki kanan dan dibawa ke HSI.

“Penumpangnya, Mohamad Adam Satiman, 25, juga bekerja di tempat yang sama turut cedera dalam kemalangan itu,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img