Kerja dari rumah: Jangan sekadar kajian, masa untuk berubah

Oleh Shahbudin Embun

ARAHAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya cadangan pelaksanaan kerja dari rumah (Work From Home – WFH) dalam perkhidmatan awam diteliti secara menyeluruh merupakan langkah yang tepat pada waktunya.

 Perdana Menteri telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam menilai dasar ini bagi memastikan penyelarasan pentadbiran kerajaan dapat dilaksanakan secara lebih sistematik.

Arahan ini tidak muncul secara kebetulan. Dunia hari ini sedang berdepan ketidaktentuan geopolitik yang boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi global. Ketegangan di Asia Barat melibatkan Iran, Israel serta Amerika Syarikat berpotensi menjejaskan kestabilan pasaran tenaga dunia.

Laluan perdagangan strategik seperti Selat Hormuz mengendalikan hampir 20 peratus bekalan minyak global, dan sebarang gangguan di kawasan tersebut boleh menyebabkan lonjakan harga minyak yang memberi kesan kepada kos pengangkutan dan kos sara hidup rakyat.

Dalam keadaan sedemikian, kerajaan Malaysia juga telah mengeluarkan arahan kawalan perbelanjaan awam kepada kementerian dan agensi kerajaan. Antara langkah yang diperkenalkan ialah menghadkan perjalanan rasmi ke luar negara kepada urusan yang benar-benar penting serta melaksanakan penjimatan tenaga di pejabat kerajaan seperti menetapkan suhu penghawa dingin sekurang-kurangnya 24°C dan memastikan lampu serta peralatan elektrik dimatikan apabila tidak digunakan.

Namun jika kerajaan benar-benar serius mahu mengawal perbelanjaan dan meningkatkan kecekapan pentadbiran, pelaksanaan WFH perlu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi yang lebih besar.

Dunia korporat sudah lama berubah

Model kerja fleksibel bukan lagi sesuatu yang baharu. Banyak organisasi global telah membuktikan bahawa produktiviti tidak semestinya bergantung kepada kehadiran fizikal di pejabat. Syarikat multinasional seperti Shell   memperkenalkan model kerja hibrid selepas pandemik COVID-19, dengan kakitangan hadir ke pejabat hanya beberapa hari seminggu dan bekerja dari rumah pada hari lain.

Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan pekerja, malah membantu syarikat mengurangkan kos operasi seperti sewaan bangunan dan penggunaan utiliti. .

Negara jiran seperti Singapura juga telah menggalakkan pengaturan kerja fleksibel dalam sektor awam dan swasta sebagai sebahagian daripada transformasi tenaga kerja moden. Jika sektor korporat global sudah bergerak ke hadapan, persoalannya ialah mengapa sektor awam masih bergerak dengan begitu berhati-hati.

Manfaat WFH kepada negara dan rakyat

Pelaksanaan kerja dari rumah secara terancang dalam perkhidmatan awam berpotensi membawa pelbagai manfaat kepada negara dan rakyat. Dari sudut pengurusan kewangan kerajaan, model kerja hibrid dapat membantu mengurangkan kos operasi apabila sebahagian kakitangan bekerja dari rumah secara berjadual. Penggunaan elektrik, air, ruang pejabat serta kos penyelenggaraan bangunan kerajaan boleh dikurangkan secara signifikan.

 Pada masa yang sama, WFH juga mampu mengurangkan penggunaan bahan api negara. Setiap hari, penjawat awam melakukan perjalanan berulang alik ke tempat kerja yang melibatkan jutaan kilometer perjalanan di seluruh negara.

 Dengan mengurangkan keperluan hadir ke pejabat setiap hari, penggunaan petrol dan diesel dapat dikurangkan, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos apabila harga minyak dunia meningkat.

Pendekatan ini juga memberi manfaat besar kepada penjawat awam yang tinggal jauh dari tempat kerja. Ramai pegawai terpaksa berulang-alik lebih 30 kilometer sehari, terutama di kawasan bandar besar dan pinggir bandar. Sekiranya berlaku kenaikan harga minyak akibat ketegangan geopolitik global, golongan ini akan paling terkesan.

 Pelaksanaan WFH secara berkala dapat membantu meringankan beban kos bahan api serta mengurangkan masa perjalanan harian mereka. Pada masa yang sama, pengurangan perjalanan ke pejabat turut membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar utama.

Selain manfaat ekonomi, fleksibiliti kerja juga terbukti meningkatkan keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan. Kajian global menunjukkan pekerja yang mempunyai pengaturan kerja fleksibel cenderung lebih produktif, kurang mengalami tekanan kerja serta mampu mengekalkan prestasi yang lebih konsisten.

 Pendekatan ini selari dengan semangat Malaysia Madani, yang menekankan kesejahteraan rakyat, kecekapan pentadbiran serta penggunaan sumber negara secara lebih berhemah.

Cabaran sebenar: Mentaliti pengurusan ama

Bagaimnapun, cabaran terbesar pelaksanaan WFH bukanlah teknologi, tetapi budaya pengurusan. Semasa pandemik dahulu, walaupun arahan kawalan pergerakan telah dikeluarkan oleh kerajaan, terdapat situasi  sebahagian pegawai masih diarahkan hadir ke pejabat tanpa keperluan kritikal.

Ini berlaku kerana sebahagian pengurusan masih menilai produktiviti berdasarkan kehadiran fizikal, bukan hasil kerja.  Dalam dunia kerja moden, pendekatan ini sudah tidak lagi relevan.

Jika serah kepada Ketua Jabatan, dasar akan gagal

Satu lagi risiko ialah jika pelaksanaan WFH diserahkan sepenuhnya kepada ketua jabatan tanpa garis panduan yang jelas dari kerajaan pusat. Realitinya, akan ada ketua jabatan yang menyokong dasar ini. Namun tidak kurang juga yang akan tetap memanggil pegawai hadir ke pejabat atas alasan “lebih mudah memantau kerja”.

Contoh paling ketara ialah mesyuarat. Jika mesyuarat dibenarkan secara hybrid tanpa garis panduan jelas, akan ada pengurusan yang tetap meminta pegawai hadir secara fizikal walaupun mesyuarat boleh dijalankan secara dalam talian. Akibatnya, dasar WFH hanya tinggal saranan di atas kertas.

Apa yang kerajaan perlu lakukan?

Jika kerajaan benar-benar serius mahu melaksanakan WFH dalam perkhidmatan awam, beberapa langkah jelas perlu dipertimbangkan. Kerajaan perlu menetapkan model kerja hibrid yang standard bagi seluruh perkhidmatan awam.

Contohnya dua hari bekerja di pejabat dan tiga hari bekerja dari rumah bagi tugasan yang sesuai. Keutamaan juga wajar diberikan kepada pegawai yang tinggal jauh dari pejabat, khususnya mereka yang berulang-alik lebih 30 kilometer sehari, bagi membantu mengurangkan kos bahan api dan masa perjalanan.

 Mesyuarat kerajaan juga wajar dijadikan secara dalam talian sebagai norma, manakala mesyuarat fizikal hanya diadakan apabila benar-benar perlu.

Pada masa yang sama, sistem penilaian prestasi penjawat awam perlu beralih kepada pendekatan berasaskan hasil kerja dan pencapaian sasaran, bukan sekadar masa kehadiran di pejabat.

Kerajaan juga boleh memanfaatkan sistem pengurusan kerja digital bagi memantau tugasan secara lebih telus serta mengoptimumkan penggunaan bangunan kerajaan melalui model kerja hibrid.

Masa untuk berani berubah

WFH bukan sekadar isu keselesaan pekerja. Ia adalah strategi pentadbiran moden dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global. Apabila harga minyak meningkat, kos pengangkutan rakyat meningkat.

Apabila perjalanan harian berjuta pekerja dapat dikurangkan, penggunaan bahan api negara juga dapat dikurangkan. Malaysia tidak boleh terus mengurus pentadbiran abad ke-21 dengan mentaliti pejabat abad ke-20.

Arahan Perdana Menteri untuk menilai pelaksanaan WFH merupakan peluang penting untuk memodenkan cara kerja sektor awam. Persoalannya kini bukan sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak, tetapi adakah kita benar-benar berani melaksanakannya?

Penulis adalah Pengerusi Biro Kepimpinan & Pentadbiran Negara MPM

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img