MAHKAMAH Tinggi Putrajaya menetapkan 26 Disember ini menyampaikan keputusan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Perbicaraan selama 302 hari dalam tempoh tujuh tahun menyaksikan bekas Ahli Parlimen tersebut berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan, menetapkan tarikh keputusan itu walaupun pihak pembelaan masih belum selesai mengemukakan hujahan balas.
“Pihak pembelaan boleh meneruskan hujahan pada 4 Nov ini… saya tahu ia mungkin berlanjutan ke hari tersebut. Namun saya nyatakan di sini bahawa keputusan akan saya sampaikan pada 26 Dis,” katanya.
Pihak pendakwaan menutup hujahan mereka semalam, manakala pasukan pembelaan Najib dijadual menamatkan hujahan balas hari ini. Namun, mahkamah menangguhkan prosiding itu ke 4 Nov ini.
Perbicaraan berprofil tinggi itu menarik perhatian antarabangsa dan melibatkan 50 saksi serta sembilan hari hujahan lisan.
Najib, 72, didakwa buat kali pertama pada 20 Sept 2018 dan perbicaraan bermula hampir setahun kemudian pada 28 Ogos 2019, dengan pihak pendakwaan menutup kes mereka pada 30 Mei 2024.
Pada 30 Okt 2024, mahkamah memerintahkan Najib membela diri atas semua pertuduhan, dan prosiding pembelaan berlangsung dari 2 Dis 2024 hingga 6 Mei 2025, melibatkan 58 hari perbicaraan dengan keterangan daripada 26 saksi.
Antara saksi utama pembelaan ialah bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin, adinda Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud, serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan pada awalnya diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Allahyarham Datuk Seri Gopal Sri Ram, sebelum pemergiannya pada Januari 2023.
Kes itu kemudiannya dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Ahmad Akram Gharib dan Datuk Kamal Baharin Omar, dengan bantuan TPR Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Deepa Nair Thevarahan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.
Najib diwakili oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bersama Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Naresh Mayachandran.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang berhubung kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
UNDILAH | 
[socialpoll id=”2974793″]



