Kes kelewatan bekalan baja: Dua individu akan didakwa dalam masa terdekat

DUA individu dijangka didakwa dalam masa terdekat dalam kes kelewatan pembekalan baja di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abd Halim Aman.

Katanya, agensi itu sudah selesai menjalankan siasatan dan kertas siasatan kes berkenaan sudah dilengkapkan serta dirujuk kepada Peguam Negara bagi mendapatkan keizinan pendakwaan.

“Penyiasatan telah tamat, telah selesai dan kita menjuruskan penyiasatan itu kepada Seksyen 18 iaitu penyelewengan khususnya terhadap pengemukaan dokumen palsu.

“Pengemukaan dokumen palsu, intipati kepada apa yang dikemukakan dan apa dokumen tersebut itu dalam proses penyiasatan. Tapi penyiasatannya telah lengkap dan kita memperakukan pertuduhan dan pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pun telah bersetuju.

“Cuma sekarang ini kita nak dapatkan keizinan daripada Peguam Negara. Jika seandainya Peguam Negara memberikan keizinan, kita akan tuduh sesegera mungkin,” katanya tanpa mendedahkan identiti dua individu tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-59 SPRM dan Perhimpunan Bulanan SPRM, di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini seramai 13 saksi sudah dipanggil SPRM bagi membantu siasatan, termasuk Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), empat pegawai MADA dan lapan kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Kes itu dibuka pada 26 Ogos lalu susulan aduan berkaitan dakwaan kegagalan syarikat pembekal, TaaVeeKun Manufacturing Sdn Bhd (Taaveekun), yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk membekal, menghantar dan mengedar Baja 3 di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di kawasan MADA.

Pembekalan itu melibatkan kawasan seluas 100,000 hektar bagi keperluan tanaman Musim 1 dan 2 tahun ini, membabitkan kira-kira 60,000 pesawah.

KPKM sebelum ini melantik Taaveekun bagi membekalkan 1.23 juta beg atau bersamaan 30,800 tan baja untuk tempoh dua musim, dengan nilai tender sebanyak RM108.62 juta.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here